Pakai cermin mata tiada masalah daftar Padu, kata menteri

Pakai cermin mata tiada masalah daftar Padu, kata menteri

Pengguna yang menghadapi masalah berkaitan e-KYC boleh ke kaunter Padu terdekat.

Proses e-KYC boleh dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh kurang lima minit dan 456,136 pengguna sudah berdaftar sejak Padu dilancar Selasa lalu.
KUALA LUMPUR:
Pemakaian cermin mata tidak mendatangkan masalah untuk proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), iaitu memuat naik swafoto dan kad pengenalan bagi pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi hantaran X hari ini berkata, bagi melaksanakan proses itu, pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan “cache” serta memastikan pelayar tidak berada dalam tetapan privasi.

Katanya, proses e-KYC boleh dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh kurang lima minit dan 230,443 pengguna melaksanakannya dengan 61% selesai pengesahan setakat 9 pagi tadi.

Beliau berkata, terdapat 456,136 pengguna berdaftar sejak Padu dilancar Selasa lalu.

Mengenai masalah “error code 100”, Rafizi berkata, bagi pengguna yang mendaftar Padu menggunakan komputer atau komputer riba, mereka akan diberikan kod QR dan perlu mengimbas menggunakan telefon pintar untuk proses mengambil gambar kad pengenalan depan dan belakang serta swafoto di peringkat e-KYC.

“Ketika ini, ada pengguna menghadapi masalah ketika melakukan proses tersebut dan mendapat ‘error code 100’. Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon pintar masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan ‘cache’ serta memastikan pelayar tidak berada dalam tetapan ‘private’.”

Jika masih menghadapi masalah berkaitan e-KYC, katanya, mereka boleh ke kaunter Padu terdekat yang disenaraikan di pautan padu.gov.my/hubungi/lokasi.

Beliau berkata, pengguna juga perlu mengemas kini maklumat pekerjaan, manakala penganggur boleh memasukkan amaun bantuan atau sumbangan diterima, sama ada daripada agensi kerajaan atau ahli keluarga bagi menampung kehidupan.

Katanya, mekanisme kawalan maklumat yang dibangunkan dalam sistem Padu memerlukan individu membuat perakuan dan pengesahan maklumat dikemas kini selepas proses pengesahan identiti melalui e-KYC.

“Setiap maklumat yang diperakukan tidak boleh dipinda, kecuali dengan membuat pelaporan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) bagi membolehkan tindakan dilaksanakan pentadbir Padu.”

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu keselamatan siber dan akan memantau serta menguji sistem Padu untuk memastikan tiada kecacatan atau kelemahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.