
Bagaimanapun, Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Jemaluang Noorasyikin Mat, 31, berkata keperitan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjalankan tugas sebaiknya apatah lagi ia merupakan pengalaman pertama melibatkan vaksinasi penduduk pulau yang perlu ditempuhinya.
Petugas kesihatan juga pada masa sama perlu memastikan segala peralatan dan vaksin yang dibawa sentiasa dalam keadaan baik sepanjang perjalanan.
“Kami agak takut kerana laut bergelora sehinggakan kami melambung-lambung di dalam bot ketika dalam perjalanan ke sebuah pulau semalam, ditambah pula dengan mabuk laut dan sebagainya.
“Jadi dalam perjalanan itu kami sentiasa berdoa dan bersyukur agar perjalanan kami, pergi dan pulang, selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Bergerak di Pulau Sibu di sini hari ini.
Meskipun menghadapi pelbagai cabaran, ibu kepada dua anak itu berkata penduduk pulau berkenaan sentiasa memberikan kerjasama yang baik sekaligus membantu kelancaran proses vaksinasi di PPV tersebut.
Sementara itu, Jururawat Kesihatan Klinik Kesihatan Endau Nur Iznani Mohd Rashidi, 31, berkata pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika bot dipukul ombak kuat dalam perjalanan sehingga beliau terpaksa berpaut pada rakan-rakan.
“Saya takut dan berdebar kerana dalam perjalanan ombak sangat kuat jadi saya pegang kawan-kawan di kiri dan kanan saya kerana takut tercampak keluar, pelbagai perkara saya fikirkan ketika itu, namun syukur semuanya berjalan dengan lancar dan baik,” katanya.
Seramai 69 kakitangan daripada pelbagai agensi termasuk 34 petugas kesihatan menyertai program pemberian vaksin menerusi PPV Bergerak di kepulauan mukim Mersing, yang diadakan selama dua hari bermula semalam.
Seramai 1,000 penduduk dan pekerja sektor pelancongan membabitkan Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Rawa dan Pulau Tengah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]