Bekas wartawan cabar diri, terokai dunia usahawan

Bekas wartawan cabar diri, terokai dunia usahawan

Norakmah berhasrat wujudkan pusat sehenti yang memasarkan produk IKS di Shah Alam, Selangor.

Norakmah bersama produk daripada Hungry Hantoo Shop. (Gambar Norakmah)

Di saat ramai peniaga mengeluh dan gelisah dengan situasi pandemik Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang petanda akan pulih, bekas wartawan ini terus kental menguatkan diri untuk mengharungi cabaran.

Malah, di sebalik halangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Norakmah Mat Youb, 40, pengusaha jenama produk biskut serta kudapan LetsKudap2 dan Hungry Hantoo Shop, tetap meneruskan perniagaannya seperti biasa.

Malah, kegigihan dan semangat itu bukan hanya menjadi pemangkin buat dirinya tetapi berupaya membantu lebih 30 ejen menjana pendapatan tambahan melebihi RM4,000 sebulan.

Kuih batang buruk antara produk keluaran Hungry Hantoo Shop yang laris di pasaran. (Gambar Norakmah)

Letskudap2 merupakan perniagaan yang dimulakan secara sambilan sewaktu masih lagi bergelar wartawan di sebuah syarikat akhbar terkenal.

Namun, setahun kemudian dia memberanikan diri untuk memberi fokus sepenuh masa terhadap perniagaan tersebut setelah meletakkan jawatan pada 2016.

“Ia sememangnya satu pengalaman yang benar-benar berbeza memandangkan dahulu saya bekerja di sebuah syarikat besar dan kini mengendalikan perniagaan sendiri serta bergelar usahawan.

Keputusan meninggalkan dunia media ternyata tidak sia-sia apabila melihat kepada sambutan menggalakkan daripada pelanggan terhadap produk jualannya.

Malah, ketika dalam suasana pandemik ini, dia terus bersikap positif untuk memperluaskan perniagaan kepada satu lagi syarikat baru, Hungry Hantoo Shop dengan konsep yang sama.

Ia diwujudkan selepas pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu bersama dua lagi rakan kongsi dengan hasrat menerokai pasaran baharu.

Norakmah bersama rakan kongsi perniagaannya, (kiri) Syarrizuan Abdul Rashid, 40 dan (tengah) ejennya, Nurainn Azhar, 37. (Gambar Norakmah)

“Pada November tahun lalu, saya tubuhkan sebuah lagi syarikat yang mempunyai konsep sama iaitu menjual kudapan dan biskut tetapi dengan dua lagi rakan kongsi.

“Tujuannya ialah untuk menerokai pasaran baharu selain membantu salah seorang daripada rakan kongsi menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya yang berasal dari Kuala Langat, Selangor.

Menerusi syarikatnya, Norakmah juga tidak mahu terlepas peluang menjana pendapatan dengan menjual pelbagai produk bermutu dari usahawan bumiputera lain.

“Kami turut menjalin kerjasama dengan beberapa usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) termasuk dari Johor yang sememangnya terkenal dengan keenakan serta kelainan produknya,” ujar Norakmah.

Antara produk Hungry Hantoo Shop. (Gambar Norakmah)

Manakala sebahagian lagi produk keluaran Hungry Hantoo turut dihasilkan sendiri menggunakan resipi mereka dengan bahan premium.

“Kami ingin memastikan produk yang dijual kualitinya terjamin dan bermutu tinggi. Malah, kami amat menekankan kualiti bahan yang digunakan bagi memastikan tidak ada sebarang rungutan daripada pelanggan. Oleh sebab itulah sebahagian besar daripada produk ini dihasilkan menggunakan resipi kami sendiri.

“Kajian pasaran yang dilakukan mendapati kebanyakan pelanggan gemar kepada produk yang memudahkan hidup mereka. Sebagai contoh, sambal kentang hantoo mampu terjual tidak kurang daripada 2,000 bekas sebulan. Batang buruk pula digemari ramai kerana dibuat menggunakan 100 peratus kacang hijau asli,” katanya lagi.

Antara produk keluaran Hungry Hantoo adalah sambal kentang rangup (Kentang Hantoo), Muruku Hantoo, kerepek pisang Abu dan Tanduk, batang buruk, tart nanas, tart beri biru, biskut choc chip serta Jagung Royale iaitu biskut Cornflakes.

Norakmah dan Syarrizuan dibantu oleh pekerja sambilan mereka, Mohd Ridza Basar, 40. (Gambar Norakmah)

Wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (kewartawanan) UiTM itu menjelaskan, dia tidak mengambil sebarang bantuan modal daripada mana-mana agensi sebaliknya hanya menggunakan wang simpanan sendiri.

Begitu juga dengan operasi perniagaan yang semuanya dikendalikan sendiri bermula daripada aspek pemasaran hingga pembungkusan.

“Sekiranya diperlukan, kami akan menggunakan bantuan pekerja sambilan untuk menguruskan operasi perniagaan,” jelasnya.

Sedar akan cabaran menjalankan perniagaan dalam keadaan terbatas ekoran pelaksanaan PKP, Norakmah tidak pernah patah semangat malah dia melakukan pendekatan berbeza.

Pelbagai jenis produk yang tersusun rapi sebelum dihantar kepada pelanggannya. (Gambar Norakmah)

“Selain penghantaran, kami manfaatkan kaedah perniagaan secara atas talian sepenuhnya untuk meningkatkan lagi promosi syarikat. Alhamdulillah, produk kami semakin diterima menerusi promosi ‘mulut ke mulut’ yang membantu jualan produk Hungry Hantoo.

“Berniaga ketika waktu PKP memang mempunyai cabaran tersendiri apabila orang ramai lebih cerewet berbelanja namun kami melakukan pendekatan secara atas talian dan merekrut lebih ramai ejen. Ia sangat membantu jualan syarikat kami,” ujarnya lagi.

Ternyata usaha wanita cekal ini tidak terhenti di situ. Dia mempunyai perancangan yang jauh lebih besar iaitu untuk mengembangkan perniagaan termasuk mewujudkan pusat sehenti yang memasarkan produk IKS di Shah Alam, Selangor.

Berminat untuk mendapatkan produk Hungry Hantoo Shop? Anda boleh hubungi talian 016-626 0305 atau lawati laman Facebook dan Instagram Hungry Hantoo.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.