
Masih ingatkan pada bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’ sejak dilahirkan dan mendapat perhatian negara?
Waktu itu, bayi comel ini berusia lapan bulan dan kisahnya tular sehingga sekalian rakyat Malaysia bersimpati dengan nasib yang menimpa Ainul.
Takdir bidadari kecil ini sudah ditulis, apabila ibunya dihubungi Dr Nur Amalina Che Bakri di London yang ingin membantu melakukan pembedahan buat Ainul.
Keluarga itu kemudian berlepas ke London pada 24 Mei 2019 dan Ainul selamat menjalani pembedahan. Tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulut Ainul Mardhiah dikeluarkan oleh sepasukan pakar diketuai Profesor David Dunaway.
Hari ini Ainul sudah menginjak dewasa, berusia tiga tahun dan sudahpun bergelar kakak kepada seorang adik lelaki.
Terbaharu bapanya, Ahmad Safiuddin telah memuat naik beberapa keping gambar Ainul comel bertudung di akaun Facebooknya. Nyata kanak-kanak ini kelihatan sihat dan lebih gembira.

Safiuddin turut berkongsi cerita mengenai keadaan diri puterinya. Dilihat secara fizikal, pipi sebelah Ainul kelihatan lebih bengkak dari biasa.
“Saya nak share sedikit tentang kesan/komplikasi selepas ‘major operation’ Ainul di Great Ormond Street Hospital dahulu. Jika kita perhatikan muka Ainul, kita akan nampak bengkak di sebelah kanan pipinya akibat komplikasi dari pembedahan.
“Saya rasa, hanya ini sahaja komplikasi pembedahan di UK dahulu. Muka Ainul di sebelah kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik disebabkan saraf-saraf di muka kanannya tidak dapat disambung semula,” ujar Safiuddin.
Menurutnya lagi, saraf-sarafnya pada wajah anaknya ketika itu memang sangat halus dan sukar untuk disambung.
“Memandangkan usianya sewaktu itu adalah 8 bulan, jadi agak mustahil pakar dapat menyambung semula saraf-saraf tersebut seperti asal dan memang itulah komplikasinya, jawab Pakar,” jelasnya.

Ainul tidak dapat mengerakkan muka di sebelah kanannya. Jika dia tersenyum atau ketawa, pipi di sebelah kanannya tidak dapat digerakkan (mimik muka). Hanya di sebelah kiri mukanya sahaja berfungsi dengan baik.
Begitu juga ketika Ainul menangis hanya mata kirinya sahaja dapat ditutup rapat. Mata kanannya pula akan terbuka.
“Tapi alhamdulillah, ketika tidur kedua-dua belah matanya dapat ditutup rapat. Ini pun cukup syukur!” ujar ayah Ainul.
Namun begitu, Safiuddin amat bersyukur apabila wajah sebelah Ainul yang dulunya lebih bengkak, tetapi kini telah susut berbanding dulu.
“Tapi apa pun, kami tetap bersyukur dan ini hanyalah masalah kecil. InshaAllah nanti bila Ainul dah besar, kami akan rujuk Pakar Plastik untuk buat ‘reconstruction’ (jika perlu),” katanya lagi.
Safiuddin yang sudah mendapat nasihat dari Pakar Plastik berkenaan saraf muka Ainul itu ternyata bersyukur dan gembira dengan perkembangan puterinya.

“Bab muka Ainul ini minor sahaja. InshaAllah boleh dibaiki apabila besar nanti. Pada kami, perkembangan Ainul yang sekarang sudah cukup berharga. Jauh beza dengan keadaannya dahulu. Alhamdulillah. Nikmat ini pun sudah membuatkan kami rasa syukur.
“Yang lain-lain itu, biar lah masa yang menentukan. Biarpun rawatannya mengambil masa yang lama, itu tidak mengapa. Asalkan Puteri kami ini kekal sihat dan ceria seperti kanak-kanak yang lain,” jelasnya.
Nyata, Ainul Mardhiah hari ini adalah kanak-kanak comel yang sihat dan cergas. Malah, sehingga kini, dia sentiasa dilimpahi kasih sayang dan doa dari seluruh rakyat Malaysia yang sering menantikan perkembangan terbaharu Ainul. Semoga Ainul terus diberi kesihatan yang baik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]