
“Cuba tanya berapa kali mesyuarat, majlis mahupun program parti. Ada bukti saya gagal atau tidak boleh hadir?
“Saya masih mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya. Kalau sudah tak mampu, saya tidak boleh duduk situ dan rosakkan parti saya,” kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam temu bual Malaysia Gazette malam tadi.
Bekas perdana menteri berkata, individu yang berhasrat mengambil alih jawatannya perlu berbuat demikian mengikut undang-undang.
“Ini parti yang saya bina. Tiada masalah kalau nak ambil, tapi kena ikut undang-undang. Apa yang luar biasa nak merebut-rebut,” katanya sambil menambah beliau masih bersemangat tinggi dan bersedia menghadapi sebarang cabaran.
Muhyiddin berkata demikian selepas bekas ketua Bersatu Sungai Besar, Hasnizam Adham memberi bayangan keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pagoh itu dan mendakwa beliau dimasukkan ke hospital untuk rawatan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali menepis dakwaan itu dengan berkata Muhyiddin sihat dan masih aktif menerajui parti.
Muhyiddin berkata, beliau terbuka menerima pandangan ‘tidak memuaskan’ daripada kumpulan kecil, tetapi tidak akan berdiam diri sekiranya ia mencetuskan perbalahan dan polemik yang mungkin membawa kesan perpecahan dalam parti.
“Semua ahli ada hak bersuara, tapi kena ikut peraturan. Kita tak boleh sewenang-wenangnya nak bangkitkan perkara mengikut kehendak tanpa hormat kepada asas perlembagaan parti.
“Kalau ada sesuatu yang memberi kesan kepada parti, saya tidak akan berdiam diri dan akan ‘didik’ secara berhemah,” katanya yang yakin masa depan Bersatu terjamin dengan adanya kerjasama Timbalan Presidennya, Hamzah Zainudin dan Azmin bersama dengan pimpinan lain.