
Presiden Persatuan Kebajikan Talian Hayat Kehidupan Malaysia, Symphony Tan berkata bayi tersebut memerlukan pembedahan segera bagi menutup lubang bersaiz 10mm pada jantungnya, dengan kos rawatan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM80,000.
Bagaimanapun, ibu bapanya hanya mampu mengumpulkan separuh daripada jumlah tersebut, manakala baki RM40,000 masih diperlukan bagi memastikan pembedahan dapat dijalankan segera dan Ramadhani berpeluang membesar seperti kanak-kanak lain.
Bapanya, Muhammad Firdaus, 32, berkata mereka pada mulanya tidak menyedari keadaan anak keduanya itu kerana Ramadhani dilahirkan sihat. Namun, tanda awal mula kelihatan apabila berat badan anaknya tidak bertambah dan mudah penat ketika menyusu.

“Doktor hanya mengesan ada bunyi tidak normal pada jantung selepas pemeriksaan. Daripada situ, barulah kami diberitahu Ramadhani ada masalah VSD,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, anak bongsu mereka itu juga kerap mengalami jangkitan paru-paru hingga terpaksa dimasukkan ke hospital untuk tempoh yang panjang dan kini bergantung pada tiub untuk menyusu serta mengambil ubat.
Ibunya, Najihan Roslan, 30, berkata beliau terpaksa berhenti kerja sebagai guru untuk menjaga anak sepenuh masa, manakala keluarga kini hanya bergantung pada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai juruteknik keselamatan teknologi maklumat.
“Kami sudah habiskan hampir semua simpanan, termasuk mengeluarkan wang KWSP untuk menampung rawatan. Tapi kos pembedahan terlalu besar, kami memang tak mampu lagi,” katanya.
Najihah turut berkongsi bahawa perkembangan fizikal anaknya turut terjejas kerana terlalu lama berada di hospital. Ramadhani masih belum boleh duduk atau berguling sendiri seperti bayi lain seusianya.
“Sebagai ibu bapa, kami hanya mahu dia membesar sihat. Walaupun perit, kami tetap harap ada keajaiban melalui bantuan orang ramai,” katanya.
Sehubungan itu, Persatuan Kebajikan Talian Hayat Kehidupan Malaysia menyeru orang ramai untuk bersama-sama membantu menyelamatkan nyawa anak kecil ini dengan menyalurkan sumbangan ke tabung khas yang disediakan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan derma melalui akaun CIMB Bank (8605894192) atau Affin Bank (105570009847) dengan rujukan CASE 2120, atau menghubungi wakil persatuan, Jenny di talian 016-257 9625 untuk maklumat lanjut.