Kekang Influenza, ibu bapa gesa KPM wajib pelitup muka di sekolah

Kekang Influenza, ibu bapa gesa KPM wajib pelitup muka di sekolah

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan juga menyeru sekolah mengamalkan SOP mencegah jangkitan virus.

sekolah student
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan berkata memandangkan kes Influenza menaik ketika ini KPM boleh ambil langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah.
PETALING JAYA:
Kumpulan ibu bapa menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah bagi mengekang penularan wabak influenza dalam kalangan pelajar.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, berkata mengamalkan semula prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah jangkitan virus juga antara langkah boleh diambil.

“Memandangkan kes sedang menaik ketika ini, KPM boleh mengambil langkah dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah.

“Pada masa sama, sekolah juga perlu mempraktikkan SOP mencegah penyakit berjangkit dengan meningkatkan aspek kebersihan seperti cuci tangan dengan sabun dan jarakkan diri dari mereka yang nampak bergejala,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, juga menyokong mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah dan berkata, mencegah lebih baik daripada merawat.

“KPM patut bekalkan (pelitup muka) secara percuma, bukannya lencana,” katanya.

Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata pemakaian penutup muka dan mengelak bercampur dengan mereka yang berisiko boleh mengurangkan risiko jangkitan influenza.

Katanya, walaupun pesakit influenza boleh sembuh sendiri dengan hanya memerlukan rehat, minum air yang cukup dan rawatan gejala tetapi ia berbahaya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak OKU dan bawah umur lima tahun, pesakit kronik, ibu mengandung serta warga emas.

“Komplikasi flu boleh menjadi serius dan menyebabkan kematian, seperti radang paru-paru, sepsis, jangkitan telinga, jangkitan otak, dan dehidrasi,” katanya.

Semalam, dilaporkan seramai 22 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok disahkan positif influenza, manakala 114 pelajar di MRSM Kuantan dikesan dijangkiti virus sama.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan 15 kluster baharu jangkitan influenza dan saluran pernafasan dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 39 berbanding tiga kluster minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika, tanpa kematian dilaporkan.

Katanya, jumlah keseluruhan setakat ini adalah 214 kluster, berkurang 33% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.