
Wisma Putra berkata, pihaknya akan memastikan mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.
Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, khususnya 15 rakyat Malaysia, yang ditahan Israel pada 2 Okt.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Mohamad Hasan telah berhubung dengan beberapa pemimpin serta rakan sejawat negara sahabat termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam perkara ini,” katanya menurut Bernama.
Wisma Putra berkata, ia telah mengeluarkan arahan kepada Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama Kedutaan negara-negara Asean di Tel Aviv.
“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara. Penahanan peserta GSF adalah tidak sah, dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” katanya.
Sehingga 3.39 petang Khamis, seramai 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan pasukan Israel.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan Zionis yang berterusan.