
Tetapi sekarang, sejak klinik pergigian kembali beroperasi, pelbagai masalah pula yang terpaksa dilalui oleh doktor-doktor gigi ini. Kes-kes seperti gigi pecah, gigi terkena jangkitan, gigi berlubang dan pertambahan kaviti adalah masalah yang sangat popular ketika ini.

Ini diakui oleh Dr Jason Cheong dari Klinik Pembedahan Pergigian Jason Cheong yang terletak di Bangsar. Menurutnya, setelah klinik kembali dibuka, jadualnya dipenuhi dengan pesakit yang datang untuk temujanji pemeriksaan rutin dan juga mereka yang perlukan rawatan lebih kompleks.
“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, rutin doktor gigi ditangguhkan dan pesakit hanya makan ubat di rumah sahaja. Tetapi sebaik sahaja perlaksanaan ini dilonggarkan, orang ramai sudah mula datang ke klinik terutama mereka yang benar-benar memerlukan rawatan.
“Sekarang ini, saya rasakan mungkin 80% pesakit yang saya rawat mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah yang perlu diberi perhatian dengan serta-merta. Rakan saya juga merasakan perkara yang sama. Mereka bersetuju dan merasakan segelintir masalah gigi terjadi semasa PKP dilaksana,” katanya.
Berikutan dengan PKP, mereka yang sememangnya menderita masalah yang kecil dahulu, kini datang dengan masalah yang lebih besar. Isu ini boleh ditangani beberapa bulan dahulu tetapi kini memerlukan rawatan yang lebih kompleks. Malah, lebih ramai yang mempunyai masalah kaviti yang bermaksud gigi mereka telah dijangkiti.

“Saya panggil “diet PKP”, itulah salah satu gaya hidup yang berubah sepanjang sekatan perjalanan ini berlangsung. Ada ibubapa yang memberitahu saya bahawa anak-anak mereka mengambil lebih banyak snek dan kebanyakan dari snek dan minuman ini mengandungi karbohidrat yang tinggi.
“Waktu PKP juga, ramai yang menyerlah dengan bakat memasak kek dan pencuci mulut. Ini menyebabkan ramai orang dewasa dan kanak-kanak telah mengalami masalah gigi akibat terlalu banyak makan makanan bergula,” katanya.

Menurutnya lagi, snek yang melekit seperti kismis, buah, vitamin yang perlu dikunyah, roti manis dan biskut yang melekat pada gigi dan kekal di situ selama berjam-jam lamanya akan mengeluarkan gula perlahan-lahan ke gigi.
Dr Jason juga memberi amaran bahawa walaupun minuman jus dapat meningkatkan daya imun tubuh tetapi ianya tinggi asid dan cenderung merosakkan gigi dengan hakisan.
Minuman-minuman ini adalah seperti jus buah, air lemon, cuka epal, cuka, kefir, kombucha, minuman Vitamin C dan semua minuman bergas.

Dia juga menambah, memakai topeng muka terlalu lama atau terlibat terlalu lama dalam mesyuarat bermaksud kita kurang minum air dan menjadikan mulut cepat kering, nafas berbau dan masalah gusi dan gigi reput.
“Jangan minum minuman berasid, bergula dan berkafien. Air kosong adalah pilihan terbaik tetapi jika anda tidak boleh, maka minumlah melalui straw dan berkumurlah dengan air selepas minum minuman manis ini,” katanya.
Telah diketahui, pandemik boleh menyebabkan masalah mental. Masalah stres ini akan menjurus kepada habit menggigit gigi yang sering berlaku sewaktu tidur.
“Kami panggil ia sebagai “Bruxing” dan ia boleh menyebabkan lebih banyak ulser pada mulut, gigi sensitif, gigi berlubang, sakit pada rahang, pening kepala dan sakit leher dan telinga. Jika anda mengalami masalah ini, doktor gigi anda boleh memberi “nightguard” untuk dipakai semasa tidur,” ujarnya.

Dr Jason juga menggalakan masyarakat Malaysia tidak mengabaikan rawatan pemeriksaan gigi kerana persepsi takut mendapat virus Covid-19 di klinik gigi.
“Sejak krisis AIDS pada awal 1980an, para doktor gigi telah dilatih untuk menjadi lebih berjaga-jaga dan mengelakkan penyebaran jangkitan kuman dan virus. Kini, dengan SOP tambahan, klinik pergigian anda mungkin salah klinik terbersih dan paling selamat untuk dimasuki.
“Buat temujanji dengan doktor gigi terlebih dahulu supaya anda tidak perlu menunda penjagaan gigi yang anda perlukan. Tidak datang temujanji boleh memberikan masalah yang lebih besar kepada anda di kemudian hari,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]