Wanita mengaku tak salah buka klinik gigi haram

Wanita mengaku tak salah buka klinik gigi haram

Nur Hafizah Harun juga berdepan tuduhan menjalankan amalan pergigian sedangkan dirinya bukan pengamal berdaftar.

gavel
Nur Hafizah Harun, 21, didakwa membuka klinik gigi tidak berdaftar di Taman Nusa Intan, Seremban. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban kerana membuka klinik gigi tidak berdaftar, Disember lalu.

Nur Hafizah Harun, 21, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Wanita itu didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1) akta sama.

Dia turut didakwa menjalankan amalan pergigian sedangkan dirinya bukan pengamal pergigian berdaftar, di bawah Akta Pergigian 2018, yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 62(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Taman Nusa Intan, Seremban, pada 8.50 malam, 6 Dis lalu, lapor Bernama.

Setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) Musfirah Musa menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, mengambil kira kesalahan itu melibatkan kepentingan dan kesihatan awam.

“Penggunaan bahan dan peralatan tidak ketahui kandungan serta tahap kebersihan bukan sahaja berbahaya kepada pelanggan, namun turut mendatangkan risiko kesihatan orang awam dengan penyakit berjangkit seperti Hepatitis B, HIV, dan lain-lain,” katanya.

Namun, peguam A Partheeban yang mewakili wanita itu merayu jaminan rendah kerana anak guamnya kini menganggur dan abang OKS yang akan menjadi penjamin bekerja sebagai kelindan lori.

Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.