
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin, berkata notis penutupan diserahkan kepada klinik itu kira-kira 8.20 pagi tadi.
Beliau berkata, premis itu melanggar Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019 berhubung kewajipan pengibaran bendera.
“Setiap premis dilesenkan atau tidak dilesenkan di bawah UUK ini diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul bagi tempoh tertentu, termasuk sambutan Hari Kebangsaan.
“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada yang dipertua untuk menutup mana-mana premis melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, pemilik premis boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, tetapi keputusan lanjut tertakluk budi bicara yang dipertua MPPn.
Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal, kecewa dengan insiden berulang Jalur Gemilang terbalik, kali ini membabitkan sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian.
“Kita terkejut dan tidak menyangka perkara ini akan berulang, apatah lagi melibatkan sebuah premis pergigian.
“Insiden ini amat mengecewakan pentadbiran daerah. Oleh itu, saya menyeru masyarakat lebih berhati-hati supaya perkara sebegini tidak lagi berulang.”
Beliau mengingatkan semua pihak memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor dengan sempurna dan tidak terbalik.
“Jika tidak pasti, mereka boleh merujuk sumber melalui pelbagai kaedah, termasuk media sosial atau mendapatkan panduan pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan.”
Semalam, tular di media sosial video 33 saat memaparkan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di Pontian.