
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (Nohsa 2020), hanya 34.3% warga emas mencapai tahap 20 batang gigi asli manakala 13.9% mengalami limitasi fungsi mulut yang menjejaskan kualiti hidup.
“Seperti yang saya sebutkan tadi, gigi adalah laluan masuk kepada tubuh badan, kita nak pastikan laluan masuk ini kekal berfungsi dan menjaga pelbagainya, termasuklah infeksi termasuklah makanan-makanan dan sebagainya ini sangat mustahak.
“Saya telah tekankan tanpa kesihatan oral, maka tiadalah kesihatan diri, kerana itulah peri pentingnya kesihatan pergigian dalam mengekalkan keafiatan tubuh badan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen 6020 dan Kembara Senyuman Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, dalam memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai, pihaknya akan menggerakkan Kembara Senyuman ke seluruh negara yang antaranya menawarkan perkhidmatan pembuatan gigi palsu terus ke komuniti, pusat jagaan dan kawasan pedalaman.
Beliau berkata, pendekatan bagi memastikan tiada yang tercicir daripada mendapatkan akses kesihatan pergigian itu juga, akan menggunakan teknologi pendigitalan 3DDT untuk penghasilan gigi palsu yang pantas dan berkualiti tinggi.
Dzulkefly berkata, inisiatif berkenaan juga merupakan antara langkah proaktif kerajaan dalam mendepani cabaran masyarakat menua, dengan statistik terkini menunjukkan penduduk berumur 65 tahun ke atas telah mencecah 8.0% pada 2025.
“Program outreach atau pendekatan menjangkau kawasan luar bandar amat penting bagi memastikan tiada siapa yang tercicir, khususnya dalam kalangan kumpulan rentan atau berisiko tinggi.
“Kita mahu pastikan perkhidmatan kesihatan dan penelitian terus dapat disampaikan secara menyeluruh, dengan fokus kepada warga emas, golongan uzur, orang kurang upaya serta mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya.