Bertenang, kata Ahmad Maslan berkait Jalur Gemilang terbalik di klinik gigi

Bertenang, kata Ahmad Maslan berkait Jalur Gemilang terbalik di klinik gigi

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata doktor gigi dan pekerja wanita itu sudah diambil kenyataan oleh polis.

klinik gigi bendera terbalik
Tangkap layar video tular menunjukkan bendera Malaysia dipasang terbalik di klinik gigi di Pontian, Johor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah klinik gigi di Pontian, Johor, akibat kesilapan pekerja dan ia tidak disengajakan.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, berkata doktor gigi dan pekerja wanita itu sudah diambil kenyataan oleh polis dan beberapa pihak serta NGO juga membuat laporan.

“Bendera terbalik di bandar Pontian sudah dibaiki. Disebut berlaku disebabkan pekerja klinik gigi iaitu seorang wanita yang silap memasang dan beliau kata tidak disengajakan,” katanya di Facebook.

Ahmad yang juga timbalan menteri kerja raya berkata, beliau akan bertemu dan berbincang dengan pihak berkuasa mengenai perkara itu esok.

“Diharap saudara saudari bertenang. Isu ini sedang ditangani. Tentunya pelbagai pihak yang berkuasa berkaitan sedang mengambil tindakan sewajarnya. Kebijaksanaan bertindak adalah penting agar perkara sama tidak berulang dan berulang lagi.

“Perlu diingat ini bukan soal perkauman. Ia adalah soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua pihak berhati-hati apabila melibatkan hal sensitif dengan tugas pihak berkuasa pula memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi.

Terdahulu, tular video berdurasi 33 saat memaparkan bendera Malaysia dipasang terbalik di bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik pergigian itu. Di sebelahnya pula adalah bendera Johor yang dipasang betul.

Video itu turut menunjukkan beberapa anggota polis dan orang awam berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pontian, Abd Hamid Abdul Rahaman, berkata kes disiasat mengikut Seskyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.