
Petaling Jaya: Kanser limfoma yang dihidapi penyanyi Elyana, 33, sejak 10 tahun dahulu sudah semakin serius.
“Semasa dimasukkan ke hospital bulan lalu, saya gembira bila doktor memaklumkan bahawa sel kanser lama sudah berkurangan.
“Namun, bila doktor mengatakan sel-sel tersebut sudah merebak ke rahim, hati dan pangkal paha, saya sedikit sedih tetapi saya berusaha untuk kuatkan semangat agar lebih sihat dan sentiasa berfikiran positif.
Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, berkata dia sentiasa mengingatkan diri agar terus kuat dan berjuang untuk keluarga yang sentiasa ada di sisi.
Menurut Elyana, dia masih sihat hanya perlukan banyak masa untuk berehat. Malah, selera makan sejak beberapa bulan lalu sudah berkurangan dan badannya semakin lemah.
“Mengikut kata doktor, saiz kanser saya masih kecil namun, sekiranya membesar ia boleh memberi kesan kepada tulang selain berisiko untuk lumpuh.
“Kerana itulah doktor ingin segera melakukan rawatan kemoterapi tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
“Berat badan saya susut, kini hanya 40 kilogram, saya hilang selera makan. Badan saya hanya tinggal tulang sahaja.” ujarnya.
Kata Elyana, dia perlukan sedikit masa untuk menguatkan badannya terlebih dahulu sebelum melakukan rawatan kemoterapi.
Terdahulu, Elyana telah membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.
Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 9, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani, 1 tahun.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]