Empangan Air Itam susut 33.7%, PBAPP usul pembenihan awan

Empangan Air Itam susut 33.7%, PBAPP usul pembenihan awan

Tahap waspada pertama pada kadar 50%, diikuti tahap kedua 40% dan tahap ketiga pada paras 30% dan ke bawah.

PBAPP mengusulkan permohonan pembenihan awan disebabkan kapasiti Empangan Air Itam melampaui tahap amaran dua sejak semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kapasiti Empangan Air Itam di Pulau Pinang terus menyusut sehingga tahap membimbangkan dengan 33.7% takungan setakat 2 petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan mengesahkan kapasiti empangan itu melampaui tahap amaran dua sejak semalam dan pihaknya mengusulkan permohonan pembenihan awan.

“Kita sudah mengadakan perbincangan bersama Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Cadangan lain akan dimuktamadkan selepas kerja ‘shutdown’ (di Sungai Perai) selesai sepenuhnya,” katanya menurut Berita Harian.

Tahap waspada pertama pada kadar 50%, diikuti tahap kedua 40% dan tahap ketiga pada paras 30% dan ke bawah.

PBAPP sedang memfokuskan kerja fizikal pengalihan saluran paip di Sungai Perai yang dijadualkan bermula 11.30 malam ini dan dijangka selesai 2 petang esok.

Empangan Air Itam merekodkan kapasiti efektif 83% pada 1 Dis lalu, tetapi insiden paip pecah di Sungai Perai bulan lalu menyebabkan penggunaannya ditingkatkan untuk menampung kegunaan penduduk terjejas menyebabkan paras air menyusut kepada 66.7% setakat 5 Jan lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, rekod pengeluaran air terawat dari loji rawatan air (LRA) Air Itam ketika krisis itu adalah 40 juta liter sehari (JLH) berbanding 22JLH pada hari biasa.

Penyusutan itu turut didorong cuaca kering ketika ini dengan taburan hujan di kawasan terbabit rendah dan empangan berkenaan membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk, antaranya meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.