Pengambilan pelajar politeknik, kolej komuniti susut 12.8%

Pengambilan pelajar politeknik, kolej komuniti susut 12.8%

Keadaan sosioekonomi keluarga dipercayai mendorong pelajar lebih cenderung bekerja berbanding sambung pengajian.

Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Azirin Abdul Aziz, berkata trend kurang minat menyambung pelajaran akan memberi kesan kepada masa hadapan negara.
KOTA BHARU:
Pengambilan pelajar politeknik dan kolej komuniti menyusut 12.8% tahun ini, kata Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Azirin Abdul Aziz.

Azirin berkata, secara umumnya kira-kira 100,000 pelajar diterima setiap tahun bagi kedua-dua institusi pengajian itu, namun jumlah terbabit sedikit merosot kepada 80,000 pelajar tahun ini.

“Tidak semua program yang ditawarkan mengalami penurunan bilangan pelajar. Bidang yang mengalami penurunan adalah berkaitan kejuruteraan dan kita dapati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kurang diminati pelajar sejak di peringkat sekolah lagi.

“Kalau kekurangan ini terus berlaku, tidak mustahil dalam masa lima tahun akan datang berlaku pengurangan peluang pekerjaan bidang ini di pasaran kerana kita menawarkan program berdasarkan permintaan semasa industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Town Hall Cinta dan Air Mata Peringkat Kebangsaan yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun.

Azirin berkata, walaupun tiada kajian khusus dilakukan, penyusutan jumlah pelajar tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan keadaan sosioekonomi keluarga mendorong pelajar lebih cenderung bekerja berbanding menyambung pelajaran.

Katanya, walaupun penurunan tersebut tidak melibatkan angka besar, trend kurang minat menyambung pelajaran akan memberi kesan kepada masa hadapan negara.

“Hal ini kerana hasrat untuk mencapai sebuah negara maju perlu bermula dengan pendidikan, sekurang-kurangnya pada peringkat sijil atau diploma.

“Langkah promosi akan terus dipergiat sama ada di peringkat institusi melibatkan kelompok sasaran seperti sekolah dan peringkat kebangsaan seperti program Jom Masuk U,” katanya.

Menurutnya, kebolehpasaran kerja graduan politeknik dan kolej komuniti adalah melebihi 90% sekali gus tidak memberi masalah kepada pelajar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.