Projek mega berjalan walau ringgit susut, kata menteri

Projek mega berjalan walau ringgit susut, kata menteri

Wee Ka Siong berkata projek seperti ECRL, RTS, MRT3 dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru tidak terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit.

Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Projek mega Kementerian Pengangkutan tidak terkesan dengan penyusutan nilai ringgit dan terus berjalan mengikut jadual, kata menterinya, Wee Ka Siong.

Katanya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) dari Johor ke Woodlands di Singapura, Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru berjalan seperti dijadualkan.

Katanya, pembinaan ECRL sudah mencapai 33%.

“Ia tidak akan terkesan dengan sebarang kejatuhan nilai wang kita…tidak akan menjejaskan kontrak. Projek itu akan tetap berjalan. Kita mempunyai jadual untuk pengoperasian pada 1 Jan 2027.

“Saya rasa kita akan terus dan kita akan merancakkan lagi pembinaan kerana setakat ini, ECRL 1,076 tapak (besar dan kecil) sedang dalam proses pembinaan secara seiring,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, malah MRT2 dijangka siap awal tahun depan dan boleh beroperasi sepenuhnya, selain kerajaan baharu sahaja membuka tender untuk MRT3.

Wee ketika mengulas lanjut berkata, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru juga mengikut jadual dan dijangka siap pada 2024.

“RTS masih berjalan. Setakat ini lebih 20% daripada keseluruhan.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Singapura tentang isu teknikal yang perlu diselesaikan. Pertemuan dijangka diadakan dalam tempoh sehari atau dua hari lagi,” katanya.

Bersifat sementara

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, berkata kerajaan menyifatkan kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini bersifat sementara, malah perkara itu turut berlaku di peringkat global.

Beliau yang juga pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, pada masa ini Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara sedang melakukan penyelarasan berhubung perkara itu.

“Kita tahu nilai ringgit adalah nilai yang relatif kepada beberapa mata wang. Apabila sebut nilai ringgit, ada naik dan ada turun. Tapi lazim yang banyak diperkatakan, ini adalah nilai ringgit berbanding dengan Dolar AS.

“Untuk tempoh itu ada positif dan ada negatif. Yang positif ialah barangan yang dieksport akan mendapat nilai yang lebih tinggi, namun kita negara yang import, kita perlu membayar lebih kerana bayaran dibuat dalam nilai dolar AS,” katanya menurut Bernama.

Mengulas berhubung kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), Annuar berkata, jika OPR tidak dinaikkan, nilai mata wang ringgit boleh terus jatuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.