Takungan air di Empangan Muda kini 9.96%

Takungan air di Empangan Muda kini 9.96%

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda berkata, takungan air di Empangan Pedu dan Empangan Ahning pula mencatatkan 43.1% serta 83.07%.

EMPANGAN MUDA BERNAMA
Taburan hujan sangat rendah di kawasan tadahan Empangan Muda sepanjang tujuh bulan ini menyebabkan parasnya turun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Takungan air di Empangan Muda, Kedah kini di paras 9.96%.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkata, takungan air di Empangan Pedu dan Empangan Ahning pula mencatatkan 43.1% serta 83.07%.

Menurutnya, 47% takungan air tiga empangan di bawah seliaannya itu digunakan untuk pengairan tanaman padi serta bekalan air domestik di utara Kedah dan selatan Perlis.

Katanya, keadaan takungan itu akibat taburan hujan sangat rendah di kawasan tadahan empangan sepanjang tujuh bulan ini, iaitu 812mm berbanding 1,085mm bagi tempoh sama dalam purata 20 tahun (2004 hingga 2023).

“Dalam meningkatkan kedudukan paras air empangan, Mada sedang menjalin kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah untuk melakukan pembenihan awan di kawasan tadahan empangan,” katanya menurut Harian Metro.

Mada berkata, ia akan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula dan mengoptimumkan penggunaan air sungai mengalir ke terusannya.

Ia meminta orang ramai tidak panik dengan takungan air di Empangan Muda kerana merujuk Tinjauan Cuaca Jangka Panjang bagi Julai hingga Disember 2024 oleh Jabatan Meteorologi, taburan hujan di kawasan Muda akan berada dalam julat purata sepanjang tempoh itu.

Berdasarkan unjuran itu, katanya, takungan Empangan Pedu akan mencapai 53.93% akhir September ini dan masih mampu memenuhi bekalan pengairan bagi penanaman padi musim satu tahun ini, termasuk permintaan keperluan domestik dan industri di kawasan Muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.