Korea Utara lancar peluru berpandu balistik jarak dekat ke Laut Timur

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik jarak dekat ke Laut Timur

Ketua turus bersama berkata peluru berpandu itu dilancarkan kira-kira 8.10 pagi waktu tempatan dari bandar pesisir timur Wonsan.

Orang ramai menonton berita berhubung pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara ke Laut Timur. (Gambar EPA Images)
SEOUL:
Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah Laut Timur pada Khamis, pelancaran pertama seumpamanya sejak Mac lalu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.

Menurut ketua turus bersama (JCS), peluru berpandu itu dilancarkan kira-kira 8.10 pagi waktu tempatan dari bandar pesisir timur Wonsan.

JCS berkata, pihaknya mengesan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat dalam ujian itu.

“Tentera kami meningkatkan pengawasan terhadap kemungkinan pelancaran tambahan dan mengekalkan kesiapsiagaan penuh, sambil berkongsi maklumat berkaitan peluru berpandu balistik Korea Utara dengan Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya dalam kenyataan.

Pelancaran itu berlaku kira-kira dua bulan selepas Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat yang disyaki pada 10 Mac lalu, serentak latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Ia juga pelancaran peluru berpandu balistik kedua sejak Presiden AS, Donald Trump kembali ke Rumah Putih Januari lalu.

Setakat tahun ini, Korea Utara dilihat mengelakkan provokasi jarak jauh atau tindakan ketenteraan berprofil tinggi, di tengah-tengah hubungan ketenteraan semakin erat dengan Rusia serta lebih memfokuskan retorik berbanding ujian senjata utama, kata penganalisis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.