Bandar Seoul silap keluar amaran kecemasan selepas Korea Utara lancar roket

Bandar Seoul silap keluar amaran kecemasan selepas Korea Utara lancar roket

Amaran menerusi telefon bimbit itu dihantar kepada semua penduduk pada 6.41 pagi, namun ditarik balik oleh Kementerian Dalam Negeri pada 7.03 pagi.

Kerajaan bandar raya Seoul berkata, ia menghantar amaran kecemasan kepada penduduknya selepas menerima pemberitahuan mengenai pelancaran roket oleh Korea Utara. (Gambar AP)
SEOUL:
Bandar raya Seoul pada Rabu tersilap mengeluarkan amaran kecemasan menasihatkan penduduknya agar bersedia untuk berpindah selepas Korea Utara melancarkan roket, lapor Agensi Berita Yonhap.

Amaran menerusi telefon bimbit itu dihantar kepada semua penduduk pada 6.41 pagi, sejurus selepas Ketua Turus Bersama memaklumkan bahawa Korea Utara melancarkan apa yang kelihatan seperti kenderaan pelancar angkasa.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri menarik balik amaran itu pada 7.03 pagi, mengatakan amaran itu dihantar secara tidak sengaja.

“Kami memaklumkan bahawa amaran yang dikeluarkan oleh Bandaraya Metropolitan Seoul pada 6.41 pagi adalah maklumat yang salah,” menurut kementerian itu.

Seorang pegawai kementerian berkata, Seoul bukanlah antara kawasan di mana amaran dikeluarkan.

Kerajaan bandar raya itu berkata, ia menghantar amaran tersebut selepas menerima pemberitahuan daripada kementerian mengenai pelancaran roket oleh Korea Utara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.