
Pyongyang dilaporkan berkata, “kemalangan serius berlaku” ketika pelancaran sebuah kapal pemusnah tentera laut baharu seberat 5,000 tan di bandar pelabuhan timur, Chongjin pada Rabu lalu, di mana bahagian dasar kapal itu hancur.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menyifatkan kemalangan itu “tindakan jenayah akibat kecuaian mutlak”.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Kang Jong-chol, ketua jurutera di limbungan Chongjin; Han Kyong-hak, ketua bengkel pembinaan badan kapal dan Kim Yong-hak, timbalan pengurus hal ehwal pentadbiran ditahan pihak berkuasa.
KCNA melaporkan ketiga-tiganya “bertanggungjawab atas kemalangan itu”.
Jumaat lalu, KCNA melaporkan pengurus limbungan kapal, Hong Kil-ho dipanggil penguat kuasa undang-undang.
Tentera Korea Selatan dilaporkan berkata, pihak berkuasa perisikan Amerika Syarikat dan Seoul menilai “cubaan pelancaran sampingan” Korea Utara gagal dan kapal itu dibiarkan tersadai dalam air.
KCNA melaporkan “pemeriksaan bawah air dan dalaman kapal mengesahkan tiada lubang dibuat di dasar kapal perang itu, tidak seperti pengumuman awal” dan tahap kerosakannya “tidak serius”.
Berdasarkan saiz dan skalanya, tentera Korea Selatan dilaporkan berkata, kapal perang baharu itu dipercayai sama dengan kapal kelas pemusnah seberat 5,000 tan Choe Hyon, yang dilancarkan Korea Utara bulan lalu.
Pyongyang dilaporkan berkata, Choe Hyon dilengkapi “senjata paling berkuasa” dan akan “beroperasi awal tahun depan”.
Tentera Seoul berkata, Choe Hyon mungkin dibina dengan bantuan Rusia – mungkin sebagai pertukaran untuk Pyongyang mengerahkan ribuan tentera membantu Moscow melawan Ukraine.
Penganalisis juga berkata, kapal perang terbabit kemalangan pada Rabu lalu mungkin dibina dengan bantuan Rusia.