Trump berhasrat pulih hubungan dengan Kim Jong Un

Trump berhasrat pulih hubungan dengan Kim Jong Un

Presiden AS Donald Trump menegaskan beliau dan pemimpin Korea Utara itu 'sangat serasi'.

trump kim jong un
Presiden AS Donald Trump mengadakan tiga pertemuan bersejarah dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, sebelum ini. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Khamis menyuarakan hasrat untuk memulihkan hubungan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, yang terjalin semasa penggal pertamanya sebagai presiden.

Beliau menegaskan bahawa mereka ‘sangat serasi’ dan masih mengekalkan hubungan baik.

Menurut agensi berita Yonhap, Trump membuat kenyataan itu ketika sesi bersama media, menyifatkan Kim sebagai pemimpin nuklear dengan ‘banyak senjata nuklear’.

Beliau juga menegaskan pentadbirannya tetap berusaha untuk mencapai matlamat ‘pelucutan senjata nuklear sepenuhnya’ Korea Utara.

“Ya, saya akan berbuat demikian,” kata Trump, menjawab soalan wartawan sama ada dia mempunyai rancangan untuk memulihkan hubungan yang pernah terjalin.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Kim Jong-un dari Korea Utara. Jika saya tidak dipilih dan Hillary (Clinton) yang menang, mungkin kita sudah berperang nuklear dengan Korea Utara,” katanya.

Kenyataan Trump ini mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin mahu memulihkan kembali diplomasi peribadi dengan Kim, yang sebelum ini membawa kepada tiga pertemuan bersejarah antara mereka — di Singapura (Jun 2018), Hanoi (Februari 2019), dan Zon Bebas Tentera Panmunjom (Jun 2019).

Pada Januari lalu, selepas dilantik sebagai presiden, Trump memberi isyarat untuk berhubung semula dengan Kim, menyifatkan pemimpin Korea Utara itu sebagai seorang yang ‘bijak’.

Bagaimanapun, wujud spekulasi Pyongyang kini lebih bergantung pada Rusia bagi mendapatkan bekalan makanan, bahan api, serta sokongan ketenteraan, sekali gus mengurangkan minat untuk kembali berunding dengan Washington.

Trump juga menyebut Korea Utara sebagai ‘kuasa nuklear’, istilah yang lazimnya dielakkan oleh pegawai AS kerana ia boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap pemilikan senjata nuklear Pyongyang.

Spekulasi itu reda apabila Rumah Putih berkata pentadbirannya berusaha mencapai pelucutan senjata nuklear sepenuhnya Korea Utara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.