Pengangkutan awam Jerman tergendala akibat kebuntuan rundingan gaji

Pengangkutan awam Jerman tergendala akibat kebuntuan rundingan gaji

Perkhidmatan bas, trem dan kereta api bawah tanah terhenti hampir sepenuhnya susulan satu lagi mogok.

germany strike
Mogok yang bermula 3 pagi menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam di beberapa negeri, termasuk di bandar utama seperti Stuttgart, Mainz, Dusseldorf, Dortmund, Cologne, Hanover dan Frankfurt. (Gambar AP)
BERLIN:
Pengguna pengangkutan awam di beberapa negeri di Jerman berdepan gangguan pada Jumaat apabila perkhidmatan bas, trem dan kereta api bawah tanah terhenti hampir sepenuhnya susulan satu lagi mogok, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kesatuan Sekerja Verdi menggesa industri melakukan sesuatu sebagai tindak balas terhadap rundingan gaji yang buntu bagi pekerja sektor awam persekutuan dan majlis perbandaran, selepas pusingan kedua perbincangan kolektif gagal mencapai persetujuan.

Mogok yang bermula 3 pagi (0200 GMT) itu menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam di beberapa negeri, termasuk di bandar utama seperti Stuttgart, Mainz, Dusseldorf, Dortmund, Cologne, Hanover dan Frankfurt.

Tindakan itu dijangka berlarutan sepanjang hari, dengan Verdi pada Khamis berkata, seramai 53,000 pekerja daripada 69 syarikat pengangkutan menyertai mogok.

Di Berlin, pekerja pengangkutan awam mogok untuk hari kedua berturut-turut akibat pertikaian gaji berasingan.

Verdi dan Kesatuan Penjawat Awam Jerman (dbb) sedang berunding gaji serta syarat pekerjaan untuk lebih 2.5 juta pekerja sektor awam dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, pentadbiran dan lapangan terbang.

Anggota bomba dan pegawai polis persekutuan turut terbabit rundingan itu.

Kesatuan menuntut kenaikan gaji sebanyak 8% atau sekurang-kurangnya €350 (USD365) sebulan, selain bayaran tambahan lebih tinggi bagi pekerjaan bertekanan tinggi, khususnya dalam sektor kesihatan. Mereka juga meminta tambahan tiga hari cuti bergaji.

Setakat ini, majikan belum mengemukakan tawaran dalam dua pusingan rundingan. Pihak berkuasa tempatan pula memberi amaran mengenai tekanan kewangan, dengan merujuk hutang tinggi ditanggung banyak majlis perbandaran.

Pusingan rundingan seterusnya dijadualkan dari 14 hingga 16 Mac di Potsdam, dekat Berlin.

Sehingga itu, kesatuan merancang meningkatkan tekanan dengan mogok lanjutan, termasuk kemungkinan tindakan keluar daripada tugas di pusat jagaan kanak-kanak perbandaran dan perkhidmatan awam lain dalam beberapa minggu akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.