PM tak benar sesiapa cetus gangguan keselamatan, kata Fahmi

PM tak benar sesiapa cetus gangguan keselamatan, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan berkata Anwar Ibrahim tidak akan benar mana-mana pihak mencetuskan sebarang 'gangguan' memandangkan negara dijadual menyambut 'tetamu'.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, tindakan akan diambil bagi memastikan keselamatan awam dan juga keselamatan tetamu negara.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri menegaskan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat keselamatan negara menjelang satu perhimpunan dirancang bagi membantah dakwaan pembinaan rumah ibadat secara haram, menurut Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan itu memaklumkan, Anwar Ibrahim menyebut beliau tidak akan membenarkan sebarang ‘gangguan’, memandangkan negara dijadual menyambut ‘tetamu’ dalam masa terdekat.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan dan menjamin keselamatan awam serta keselamatan tetamu negara sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas hadir Mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Walaupun Fahmi tidak menamakan mana-mana pihak secara khusus, pendakwah bebas Zamri Vinoth dan gabungan NGO dijangka mengadakan perhimpunan di luar pusat beli-belah Sogo malam esok, bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat ‘haram’.

Manakala, Perdana Menteri India Narendra Modi akan memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia pada Sabtu.

Awal hari ini, sekumpulan ahli PKR mendesak Anwar campur tangan bagi menghalang protes terhadap rumah ibadat ‘haram’ dijadualkan berlangsung esok, di Kuala Lumpur.

Wakil mereka, S Thiban, berkata walaupun perhimpunan dirancang itu digambarkan sebagai aman, mereka percaya ia melibatkan elemen provokasi dan menyasarkan agama tertentu, iaitu Hindu.

Fahmi seterusnya berkata, menteri dalam negeri akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu tersebut lewat hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.