Dasar ganti kereta lama ‘langkah positif sederhana’, kata pakar

Dasar ganti kereta lama ‘langkah positif sederhana’, kata pakar

Wan Agyl Wan Hassan berkata insentif itu mungkin dapat kurang penggunaan kereta lama di jalan raya, tetapi ia terhad untuk tangani cabaran pengangkutan lebih luas.

abandon car
Sehingga 31 Dis 2025, kira-kira 20.7% daripada 19.69 juta kenderaan berdaftar di Malaysia tidak aktif selama tiga tahun atau lebih. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Inisiatif penggantian kereta lama Malaysia menunjukkan kebimbangan kerajaan terhadap aspek keselamatan dan pelepasan karbon, tetapi pakar pengangkutan memberi amaran insentif RM4,000 itu tidak mencukupi untuk mengubah tabiat pemanduan atau komposisi kenderaan negara.

Ahli strategi pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan, menyifatkan skim itu “sederhana”.

“Dengan peruntukan RM10 juta untuk kira-kira 5,000 kenderaan, skim ini hanya akan menjejaskan sebahagian kecil komposisi kenderaan Malaysia semakin tua dan tidak akan mengubah komposisi kenderaan negara secara ketara.

“Insentif RM4,000 membantu, tetapi tidak cukup untuk membawa perubahan menyeluruh, khasnya bagi isi rumah masih menggunakan kenderaan lama atas faktor kemampuan,” katanya kepada FMT.

Wan Agyl Wan Hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

Beliau berkata, program itu “permulaan wajar”, menunjukkan kebimbangan kerajaan terhadap risiko alam sekitar dan aspek keselamatan yang timbul daripada kereta lama.

Tetapi, jelasnya, nilai jangka panjangnya bergantung sama ada ia berkembang menjadi dasar kitaran hayat kenderaan yang komprehensif.

Wan Agyl menegaskan sebarang usaha memperketatkan peraturan usia kenderaan perlu digandingkan pengangkutan awam lebih baik dan pilihan mobiliti mampu milik bagi mengelakkan kesan tidak seimbang terhadap golongan berpendapatan rendah terpaksa menggunakan kereta lama.

Sehingga 31 Dis lalu, terdapat 19.69 juta kenderaan berdaftar di Malaysia, dengan 4.075 juta (20.7%) memiliki lesen kenderaan motor tidak aktif melebihi tiga tahun.

Program geran padanan yang dilancarkan Kementerian Pengangkutan Selasa lalu bertujuan memberi insentif kepada pemilik kenderaan berusia 20 tahun ke atas untuk menggantikannya dengan model baharu terpilih daripada Proton atau Perodua.

Di bawah skim itu, dua pengeluar terbabit bersetuju memberi diskaun RM2,000 bagi setiap penerima layak, dengan jumlahnya akan dipadankan kerajaan. Disokong peruntukan RM10 juta untuk 2026, ia dijangka memanfaatkan kira-kira 5,000 pemilik kenderaan.

Yamin Vong
Yamin Vong.

Tetapi, dengan kereta baharu peringkat asas yang biasanya berharga RM80,000 hingga RM100,000, tidak termasuk insurans dan cukai jalan, pakar permotoran, Yamin Vong bimbang kadar sambutan mungkin rendah.

Beliau percaya penerimaan orang ramai lebih tinggi, jika pemilik kenderaan lama dan terbengkalai boleh menyertai insentif itu tanpa perlu membeli kereta baharu.

Katanya, nilai jangka panjang skim itu bergantung sama ada ia berkembang menjadi dasar kitaran hayat penuh berbanding insentif sekali saja.

Rosli Azad Khan
Rosli Khan.

Perunding pengangkutan, Rosli Khan, pula berpendapat dasar pengangkutan kerajaan kelihatan tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain.

Beliau berkata, dasar sedia ada seperti subsidi petrol RON95, cukai jalan rendah, pengecualian tol perayaan dan diskaun saman trafik menjadikan kos pemanduan lebih rendah.

“Kerajaan kita nampaknya menggalakkan pemilikan dan penggunaan kereta secara meluas. Kini, geran penggantian kereta untuk mengalihkan kereta lama dari jalan raya dan menggantikannya dengan kereta baharu.

“Terdapat percanggahan antara dasar menurunkan kos memiliki dan menggunakan kereta dengan matlamat lebih besar untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, pencemaran serta kebergantungan kepada kenderaan persendirian, bukannya pengangkutan awam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.