Paip pecah, kawasan di Shah Alam, Klang, Petaling alami gangguan air

Paip pecah, kawasan di Shah Alam, Klang, Petaling alami gangguan air

Kerja-kerja pembaikan dijangka siap pada 4 pagi esok, kata Air Selangor.

Water-Taps
Pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Seksyen 22, Shah Alam menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan di Shah Alam, Klang dan Petaling sejak 6 petang tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 28 kawasan di Klang, Shah Alam dan Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran paip pecah di Jalan Budiman, Seksyen 22, Shah Alam.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan menyebabkan gangguan bekalan air bermula 6 petang tadi.

Kerja-kerja pembaikan dijangka siap pada 4 pagi esok, tambahnya.

“Bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi Selasa,” katanya sambil menambah, tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza mengikut jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Antara kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air termasuk Bandar Putra Height, Kampung Bukit Lanchong; Pinggiran Subang USJ 3; Seksyen 22, termasuk Kampung Kebun Bunga; Seksyen 25 (Axis dan Lembayung); Seksyen 26; Seksyen 27; Seksyen 28; Seksyen 32 (Bukit Naga, Bukit Rimau, Jalan Bukit Rimau, dan Taman Desa Kemuning); Seksyen 33; dan Seksyen 34.

Selain itu, Taman Sentosa (Jalan Hulubalang), Taman Subang Mas; Taman Pinggiran USJ (Pinggiran USJ 1, 2, dan 3); Taman Perindustrian UEP (TP7); USJ 3A; USJ 3B; USJ 3C; USJ 3D; USJ Height, dan Bandar Putera turut terjejas.

Air Selangor berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan berkaitan dari semasa ke semasa menerusi semua medium, khususnya media massa.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi Air Selangor seperti aplikasi, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan X, atau menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau melayari laman sesawangnya  untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.