
Bekalan air akan disambung semula menjelang Jumaat, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, langkah itu akan memastikan bekalan air ke daerah barat daya pulau itu dan sebahagian Seberang Perai Selatan dapat dipulihkan secepat mungkin. Kira-kira 120,000 isi rumah terjejas akibat kebocoran paip utama itu.
Bagaimanapun, Chow berkata, bekalan air akan dipotong sekali lagi bagi penduduk kawasan-kawasan itu pada 30 Jan, bagi membolehkan pelencongan paip dasar sungai yang bermasalah.
“(Kerajaan negeri) sedang mempercepat dua kerja pembaikan. Salah satunya ialah pembaikan segera dengan cara mengapit bahagian yang bocor di sungai.
“Kerja pembaikan yang satu lagi sedang dijalankan, iaitu pelencongan segera paip di atas tanah sebelum 30 Jan,” katanya kepada pemberita di pejabat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang di sini.
Semalam, paip dasar sungai Sungai Perai dilaporkan bocor buat kali keempat sejak Disember.
Kebocoran pada paip kali ini berukuran 1.05m x 0.65m, menurut Chow.
Chow berkata, jika semua berjalan mengikut perancangan, pengguna yang terjejas akan mendapat bekalan air menjelang 8 pagi pada 26 Jan, namun akan mengalami gangguan bekalan air sekali lagi lima hari kemudian, iaitu pada 30 Jan.
Pemotongan bekalan air pada 30 Jan perlu dilaksanakan supaya paip “S-bend” baharu boleh dipasang untuk melencongkan bekalan air di atas tanah.
Chow berkata, jika kerja-kerja lencongan itu berjaya, semua pengguna boleh menjangkakan bekalan air disambung semula menjelang 31 Jan.