Jimat penggunaan petrol, parlimen Sri Lanka tamat bersidang awal

Jimat penggunaan petrol, parlimen Sri Lanka tamat bersidang awal

Pegawai parlimen berkata, ahli parlimen memutuskan untuk membatalkan sesi hari ini dan esok bagi mengelak penggunaan petrol.

Seorang lelaki beratur untuk membeli minyak tanah di luar sebuah stesen minyak susulan kekurangan bekalan gas untuk memasak di Colombo. (Gambar AP)
COLOMBO:
Parlimen Sri Lanka membatalkan persidangannya minggu ini bagi menjimatkan bahan bakar, kata pihak berkuasa hari ini dalam pada krisis ekonomi buruk negara itu melihat bekalan bahan bakar semakin berkurangan.

Kemelut mata wang asing mengekang pengimportan makanan, minyak dan ubat-ubatan, manakala inflasi dan bekalan elektrik yang kerap terputus menyukarkan lagi kehidupan 22 juta rakyatnya.

Pegawai parlimen berkata, ahli parlimen memutuskan untuk membatalkan sesi hari ini dan esok bagi mengelak penggunaan petrol. Keputusan itu menyusuli pihak berkuasa menutup sekolah dan beberapa pejabat kerajaan bagi tujuan sama.

Menteri tenaga Kanchana Wijesekera berkata, penghantaran bekalan gas yang sepatutnya dijadualkan hari ini telah tertangguh seterusnya pemilik kenderaan digesa mengurangkan perjalanan.

“Hanya sejumlah petrol yang terhad akan diedarkan ke stesen minyak hari ini dan esok,” katanya kepada pemberita di Colombo. Pemilik kenderaan sudah dilihat beratur untuk mengisi minyak sejak beberapa hari lalu.

Perdana menteri Ranil Wickremesinghe semalam dipetik berkata ekonomi negara itu telah sampai tahap “kemusnahan sepenuhnya”.

“Kita kini berdepan keadaan jauh lebih serius daripada setakat kekurangan bahan bakar, gas, elektrik dan makanan,” katanya kepada ahli parlimen.

Sri Lanka gagal membayar hutang USD51 bilion pada April dan kini berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk bantuan yang mungkin akan mengambil beberapa bulan sebelum dapat dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.