Bekas PM Mali ditahan atas tuduhan rasuah

Bekas PM Mali ditahan atas tuduhan rasuah

Soumeylou Boubeye Maiga ditahan atas arahan Mahkamah Tinggi berhubung kes pembelian aset ketenteraan.

Bekas perdana menteri Mali, Soumeylou Boubeye Maiga turut didakwa atas beberapa pertuduhan lain, antaranya pemalsuan dan pecah amanah. (Gambar AFP)
KIGALI:
Bekas perdana menteri Mali, Soumeylou Boubeye Maiga ditahan pada Khamis atas tuduhan berkaitan penyelewengan pembelian pesawat bekas presiden, Ibrahim Boubacar Keita, Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Beliau ditahan atas arahan Mahkamah Tinggi berhubung kes pembelian aset ketenteraan, menurut aBamako daily.

Pada Oktober 2014, Pejabat Ketua Audit Negara di Afrika Barat mendedahkan urus niaga itu melibatkan transaksi penggelapan wang bernilai 9.3 bilion CFA francs (ASD16.7 juta).

Maiga, 67, pernah menyandang jawatan Menteri Pertahanan dan Hal Ehwal Veteran ketika itu.

Beliau turut didakwa atas beberapa pertuduhan lain, antaranya pemalsuan, rasuah dan pecah amanah.

Ketua Audit Negara turut membongkar kes berkaitan tuntutan berlebihan dan beberapa kejanggalan ketika proses pemerolehan pesawat itu.

Kes itu ditutup pada 2018, tetapi dibuka semula tahun lepas.

Maiga dipercayai antara sekutu rapat Keita yang digulingkan Kolonel Assimi Goita pada Ogos 2020.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 2017, tetapi meletak jawatan pada April 2019 berikutan tragedi pembunuhan beramai-ramai di wilayah tengah negara itu yang mengakibatkan 160 orang terkorban.

Maiga ditahan bersama bekas menteri ekonomi, Bouare Fily Sissoko yang didakwa melakukan kesalahan terhadap harta benda awam, pemalsuan, mengamalkan pilih kasih, nepotisme dan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.