Ahli parlimen UK gesa Johnson dedah komunikasi dengan pihak farmaseutikal terkemuka dunia

Ahli parlimen UK gesa Johnson dedah komunikasi dengan pihak farmaseutikal terkemuka dunia

Ia berikutan bantahan terhadap penepian undang-undang harta intelek bagi vaksin Covid-19.

UK adalah antara penderma terbesar Covax bagi memastikan akses global terhadap vaksin. (Gambar AP)
LONDON:
Penggubal undang-undang di Britain hari ini menggesa kerajaan mendedahkan semua bentuk komunikasi dengan syarikat farmaseutikal bagi melihat sama ada terdapat bidaan persendirian yang mempengaruhi bantahan terhadap penepian (waiver) undang-undang harta intelek bagi vaksin Covid-19.

Amerika Syarikat (AS) dan sejumlah negara besar lain termasuk UK, telah menyekat rundingan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melibatkan cadangan oleh India dan Afrika Selatan yang kini mendapat sokongan 100 anggota WTO.

Cadangan berkenaan akan mengenepikan sementara hak harta intelek (IP) bagi syarikat farmaseutikal untuk membolehkan negara membangun menghasilkan vaksin.

Penepian ini ditentang oleh Dewan Perniagaan AS dan syarikat farmaseutikal terkemuka seperti Pfizer, BioNTech, Moderna, dan Johnson & Johnson.

Sekumpulan anggota penggubal undang-undang UK telah menandatangani petisyen menggesa Perdana Menteri Boris Johnson, menteri, dan pegawai kanan mendedahkan semua bentuk transaksi e-mel, teks, dan pesanan WhatsApp dengan syarikat farmaseutikal dan pelobi berkaitan.

Organisasi yang mewakili pesakit dan ekuiti vaksin juga turut serta dalam menandatangani petisyen tersebut termasuk Global Justice Now, Just Treatment, StopAIDS, Frontline AIDS, Universities Allied for Essential Medicines UK, Students for Global Health, dan Nurses United UK.

“Bantahan UK terhadap penepian hak harta intelek vaksin Covid-19 sama sekali tidak dapat dipertahankan,” kata Heidi Chow selaku pengurus kanan dan pengurus kempen di Global Justice Now, yang juga terlibat dalam petisyen tersebut.

Jurucakap kerajaan UK berkata pihaknya mengutamakan ketelusan tetapi pihak berkepentingan berhak agar kerahsiaan maklumat terpelihara melalui komunikasi di antara kerajaan dan pihak syarikat farmaseutikal.

UK adalah penderma terbesar Covax bagi memastikan akses global terhadap vaksin dan mendorong pengeluar untuk memberikan vaksin mereka secara telus tanpa memikirkan keuntungan.

Tambah jurucakap itu “komitmen kami untuk mencari jalan bagi menambahbaik akses yang lebih adil dan ianya dapat dilakukan menerusi kerangka Harta Intelek yang ada.”

Minggu lalu, penggubal undang-undang AS dan badan badan sukarela bertindak menekan kerajaan Biden untuk menyokong pengecualian hak paten menjelang pertemuan rasmi WTO seterusnya pada 5 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.