
Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengguna perlu diberi jaminan gangguan seperti itu tidak menjadi kebiasaan dan bukan sekadar pemberian kuota data percuma.
“Selain itu, kita juga melihat pelbagai masalah dilaporkan pengguna di media sosial seperti tidak dapat melakukan transaksi pembayaran dalam talian, tidak dapat menghubungi keluarga, menjejaskan pengguna perkhidmatan e-panggilan serta punca rezeki pemandu berkaitan dan pelbagai masalah lain lagi.
“Ia menjadi lebih kritikal dalam norma baharu apabila pengguna terlalu bergantung dengan perkhidmatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kenyataan media dikeluarkan oleh Celcom memaklumkan masalah teknikal diselesaikan dan sebagai tanda penghargaan, penggunaan kuota data bagi pelanggan yang terjejas tidak akan dikurangkan dari 6 petang hingga 12 tengah malam semalam.
Ia menjelaskan pelanggan penyedia perkhidmatan lain yang menggunakan rangkaian Celcom seperti XOX, Yoodo, redONE, ALTEL serta pelanggan Unifi mobile di kawasan tanpa liputan 4G juga turut terjejas dan mungkin akan ditawarkan pemberian lain.
“CFM melihat perkara ini bukan sekadar pemberian kuota data percuma, sebaliknya pengguna perlu jaminan bahawa gangguan seperti ini tidak menjadi kebiasaan,” katanya.
Sementara itu, Yusrizal berkata CFM sentiasa menyarankan pengguna supaya melaporkan aduan kepada syarikat telekomunikasi masing-masing dengan menyertakan maklumat terperinci mengenai masalah dihadapi.
Katanya, jika masalah itu masih tidak diselesaikan laporkan kepada CFM melalui portal aduan bersepadu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di https://aduan.skmm.gov.my/.