
Sejak akhir-akhir ini, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sering dijadikan ‘budak belasahan’ terutamanya selepas Ahli Parlimen Kota Melaka serta perwakilan Amanah Perlis mempersalahkannya kerana tidak menyebar maklumat secara berkesan.
J-Kom digambarkan sebagai agensi yang gagal menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat sehingga ada yang mendesak ia dibubarkan kerana gagal melakukan kerja penerangan tentang dasar kerajaan kepada rakyat.
Adakah salah ini hanya patut dipikul oleh J-Kom semata-mata atau kita tidak dapat melihat seluruh organisasi dalam sesebuah kementerian atau agensi kerajaan itu sendiri yang gagal menyampaikan polisi mereka kepada rakyat?
Setiap kementerian ada ada pegawai dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) yang lengkap dengan pegawai, editor, pereka bentuk grafik, penulis dan jurugambar atau juruvideo.
Selain itu mempunyai peruntukan yang agak signifikan untuk membuat langganan, belian atau hal berkaitan dengan media untuk menyampaikan dasar kementerian kepada khalayak.
Mengapa agensi dan kementerian tidak meningkatkan usaha menggunakan platform media sosial seperti Facebook, X, Threads, dan TikTok sedangkan dengan bajet yang ada, mereka boleh lakukan lebih lagi?
Tetapi hairannya semua kerja dilambakkan kepada J-KOM?
Sebagai contoh apabila rakyat keliru tentang subsidi baja, harga padi atau bantuan, J-Kom dipersalahkan. Bagaimana pula dengan agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan?
Untuk mengetahui mengapa ia jadi begini, pensejarahan ini bermula semasa J-kom ini masih lagi bernama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dahulu beroperasi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Ia sering menjadi sasaran politik dan sehingga kini pun, apabila agensi itu dibubarkan kemudian J-Kom ditubuhkan, maka agensi di bawah Kementerian Komunikasi ini pula dijadikan sasaran.
Namun apakah peranan yang dilakukan kementerian dan agensi sendiri dalam memastikan dasar kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan bahasa yang ringkas dan tuntas?
Jika kerajaan serius mahu memperbaiki penyampaian dasar, yang perlu diperbaiki ialah keseluruhan ekosistem komunikasi kerajaan.
Menyalahkan J-Kom dalam kelemahan penyampaian maklumat kepada orang awam ini memang mudah, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah yang utama, iaitu kreativiti dan kemahiran menggunakan teknologi media sosial dalam kalangan kakitangan kementerian dan agensi masing-masing.
Rasanya, orang kebiasaan macam saya pun boleh maklum, tugas J-Kom ialah menyampaikan maklumat secara umum, sebab kerajaan ada 28 kementerian dan setiap daripadanya ada agensi-agensi dan jabatan-jabatan mereka sendiri.
Takkanlah semua ini hendak dilambakkan kepada J-Kom sahaja?
Kementerian-kementerian, agensi-agensi dan jabatan-jabatan inilah yang perlu mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam media sosial atau di lapangan untuk memastikan maklumat itu sampai kepada rakyat, bukannya hanya membuli J-KOM semata-mata.
Azmi Khalid adalah penulis bebas dan pemerhati bidang komunikasi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.