
Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan menyeru kepada penyaluran maklumat dengan menggunakan pakai prinsip ‘meletakkan sesuatu pada tempatnya’ dan memahami impak dasar terhadap semua pihak.
“Tak guna kita sediakan maklumat yang baik, tetapi tidak sampai atau tidak dapat dihadam oleh rakyat. Kita perlu faham segmen sasaran, platform yang mereka guna, dan bentuk penyampaian yang paling sesuai,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.
Mengulas mengenai cabaran komunikasi semasa, Fahmi berkata beberapa kajian mendapati generasi Gen Z dan Gen Alpha banyak memperoleh maklumat melalui platform seperti WhatsApp, TikTok, dan Facebook.
Katanya, namun mereka masih meletakkan kepercayaan tinggi terhadap berita disiarkan di televisyen, radio, dan akhbar, meskipun kadar penggunaan media tradisional semakin menurun.
“Ini satu keadaan yang unik. Mereka jarang menonton televisyen, tetapi apabila menonton berita di televisyen, mereka percaya. Jadi kita perlu manfaatkan kepercayaan ini dan pada masa sama menyesuaikan pendekatan komunikasi dengan realiti digital hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata bagi memperkukuh keselamatan internet, kementerian akan melaksana Kempen Internet Selamat 2.0 yang bukan hanya menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja, tetapi ibu bapa serta masyarakat.
“Saya berasa bersalah sekiranya kita hanya berjaya menyediakan Internet yang laju dan murah, tetapi tidak selamat. Sebab itu, Kempen Internet Selamat 2.0 akan dilipatgandakan,” katanya.
Mengulas rangkuman kejayaan tahun ini, beliau berkata antara pencapaian paling membanggakan ialah penubuhan Majlis Media Malaysia selepas lebih lima dekad diperjuangkan.
“Kejayaan menggubal dan meminda beberapa akta penting, termasuk berkaitan media dan agensi di bawah kementerian, merupakan satu amanah besar yang akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat dan industri,” katanya.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 pada 26 Feb lalu, sebelum diluluskan di Dewan Negara pada 19 Mac yang kemudiannya diwartakan pada 13 Jun sebagai Akta Majlis Media Malaysia 2025.
Dari sudut infrastruktur, Fahmi menekankan peluasan liputan Internet dan 5G melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), manakala inisiatif seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), NADI On Wheels serta Perkhidmatan Pintar Nadi membuktikan pendekatan bersasar kerajaan dalam membawa akses digital dan peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar dan berpendapatan rendah.
Mengenai sudut impak langsung kepada rakyat, Fahmi berkata inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang meninggalkan kesan mendalam kerana manfaatnya dapat dirasai secara nyata dan menyentuh kehidupan harian masyarakat.