Macau Scam: Pesara wanita 90 tahun hilang RM3.83 juta

Macau Scam: Pesara wanita 90 tahun hilang RM3.83 juta

Pesara wanita berusia 90 tahun itu memindahkan wang simpanannya ke 7 akaun syarikat secara berperingkat pada 20 April hingga 15 Jun

Polis berkata, sindiket itu biasanya menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini jenayah siber. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Seorang pesara swasta mengalami kerugian RM3.83 juta dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam.

Wanita berusia 90 tahun itu mengikut kemahuan sindiket itu dengan memindahkan wang simpanannya ke 7 akaun syarikat yang berbeza secara berperingkat pada 20 April hingga 15 Jun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia bermula pada 13 Jun apabila wanita warga emas itu menerima panggilan telefon didakwa daripada Pos Laju Malaysia yang berkata, terdapat bungkusan dihantar dari Ipoh ke Sabah dengan menggunakan butirannya.

Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki tempatan yang mendakwa dirinya anggota polis berpangkat sarjan bernama “Ho Mum Foo” dan pegawai atasannya “inspektor Herman Lee” dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

“Namun polis menahan 2 lelaki tempatan berusia 36 dan 43 tahun dipercayai terlibat dalam kes ini di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor pada Khamis,” katanya hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas 3 telefon bimbit dan kedua-dua mereka direman 4 hari bermula Jumaat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang 1 tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda,” katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah sindiket itu.

Beliau berkata, sindiket itu biasanya menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini jenayah siber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.