Rundingan terus dibenar walaupun bertentangan manifesto PH, kata timbalan menteri

Rundingan terus dibenar walaupun bertentangan manifesto PH, kata timbalan menteri

Abdul Rahim Bakri berkata, PH mencanang amalan ‘clean accountability’ dan ketelusan, tetapi ia tidak kelihatan dalam isu pemberian projek secara rundingan terus.

Abdul Rahim Bakri berkata, rundingan terus dilarang dalam manifesto PH.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri berkata, pemberian projek secara rundingan terus dibenarkan, walaupun ia bertentangan manifesto Pakatan Harapan yang melarangnya.

“PH telah memasukkan dalam manifesto tidak ada runding terus lagi, mereka mencanangkan amalan ‘clean accountability’ dan ketelusan dalam isu ini, tetapi nampaknya dalam isu ini ia tidak kelihatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baru) yang meminta Kementerian Kewangan mendedahkan senarai 101 projek membabitkan RM6.61 bilion yang diberikan secara rundingan terus di bawah kerajaan PH, seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz pada Isnin lalu.

“Dengan jentera Kementerian Kewangan, ini boleh dilakukan dalam 24 jam,” katanya sambil menambah senarai itu akan menunjukkan jika berlaku sebarang penyelewengan dalam penawaran projek itu.

Abdul Rahim Bakri

Saifuddin antara pemimpin PH, termasuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menggesa kerajaan mendedahkan senarai projek rundingan terus itu.

Sementara itu, Rahim berkata, Dana Tabung Harapan Malaysia yang dilancarkan PH selepas memenangi Pilihan Raya Umum pada 9 Mei 2018 digunakan sepenuhnya untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.

“Sehingga 1 Dis 2019, Dana Tabung Harapan Malaysia berjumlah RM205,491,219.36 termasuk semua faedah yang diperoleh digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang 1MDB,” katanya sambil menambah baki dana tabung itu kini sifar.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Fadli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta menteri kewangan menyatakan status terkini tabung itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.