Campur tangan dalam isu Asia Mobiliti, TI-M beritahu Anwar, Amirudin

Campur tangan dalam isu Asia Mobiliti, TI-M beritahu Anwar, Amirudin

Transparency International Malaysia berkata keputusan pilih syarikat itu secara rundingan terus bercanggah 'iltizam kerajaan Madani'.

Transparency International
Transparency International Malaysia berkata kerajaan Selangor sepatutya melakukan proses tender terbuka bagi perkhidmatan ‘Demand Responsive Transit’ (DRT).
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari digesa campur tangan dalam penganugerahan projek pengangkutan kepada syarikat yang dikaitkan dengan suami menteri.

Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, keputusan kerajaan negeri menganugerahkan perkhidmatan ‘Demand Responsive Transit’ (DRT) di Lembah Klang kepada Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd menerusi rundingan terus bercanggah dengan ‘iltizam kerajaan Madani’.

“Kami menyeru kerajaan negeri melaksanakan proses tender telus sewajarnya sebelum ia menjejaskan persepsi orang ramai terhadap komitmen kerajaan melakukan reform antirasuah,” katanya dalam kenyataan.

TI-M mempersoal kenapa tender projek itu tidak dibuka, sambil menambah isu berbangkit tersebut memberi nama buruk kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Suami Yeoh, Ramachandran Muniandy, merupakan ketua pegawai eksekutif Asia Mobiliti.

“Ia (isu berkenaan) meletakkan Yeoh dalam situasi sangat sukar,” katanya.

Awal hari ini, Asia Mobiliti mempertahankan pembabitan dalam perkhidmatan baharu DRT, serta menyatakan hanya dua syarikat di negara ini yang berkelayakan menyediakan perkhidmatan itu.

Asia Mobiliti dalam kenyataan berkata, tender terbuka untuk proses pelantikan program Mobility Selangor akan mencipta satu monopoli di negeri ini, memandangkan ia “perkhidmatan baharu yang amat khusus”.

Katanya, keadaan itu ‘akan menyekat daya saing dan merompak peluang negeri untuk merintis perkhidmatan itu di dunia sebenar serta menilai prestasi penyedia perkhidmatan dalam tempoh masa yang munasabah’.

Semalam, Pengasas Bersama Asia Mobiliti Premesh Chandran memberi jaminan proses dilakukan dengan cara yang betul dan syarikat itu tidak terlibat dalam perkara tidak beretika.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, hari ini berkata agensi itu tidak menyiasat kemungkinan wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Asia Mobiliti.

Satu lagi syarikat bagi projek DRT adalah BadanBas Coach Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.