
Ia menjanjikan yuran pengajian percuma kepada pelajar yang layak, “bagi memastikan akses saksama kepada pendidikan tinggi berkualiti”, menurut manifesto yang dibentangkan hari ini.
Ia antara 10 perkara yang dijanjikan oleh gabungan nasional itu, di samping membangunkan sistem rel ringan iaitu Kota Kinabalu Light Rail (KKLR), dan membina rumah berharga bawah RM250,000 dengan keutamaan kepada pembeli rumah pertama, keluarga muda, dan golongan B40.
Penggantian paip lama bagi memastikan bekalan air konsisten, membina loji janakuasa baharu untuk meningkatkan bekalan elektrik, serta selenggara jalan secara berterusan turut dijanjikan.
Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, hari ini membentangkan manifesto yang mengandungi lapan ‘komitmen’, khusus untuk membantu rakyat, memperbaiki prasarana, mengukuh tadbir urus serta merancakkan ekonomi Sabah.
“PH tak janjikan bulan dan bintang tetapi kembali kepada perkara asas iaitu dengan pendekatan berani dan radikal,” katanya.
Pertama, katanya, PH Sabah komited untuk menyalurkan hasil Sabah sebaiknya kepada rakyat, mengandungi 10 perkara disebut di atas.
Komitmen lain adalah penubuhan dana kekayaan berdaulat yang diurus profesional dan melapor kepada DUN; memperkenalkan jawatankuasa pilihan khas dengan kuasa memanggil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi untuk soal jawab bagi meningkatkan kebertanggungjawaban; dan memastikan 30% penglibatan wanita dalam Jemaah Menteri Sabah, GLC dan kepimpinan tempatan.
PH Sabah turut bercakap tentang pemerkasaan ekonomi nilai tinggi, dengan komitmen untuk membangunkan industri bernilai tinggi melalui aktiviti hiliran bagi sektor minyak dan gas, balak, kelapa sawit, pasir silika, agro-maritim dan pemprosesan makanan laut; di samping merancakkan sektor pelancongan dengan membangun kemudahan berkualiti tinggi dan memperluas aktiviti berasaskan acara.
Turut terkandung dalam manifesto ini bantuan kewangan RM100 setahun untuk semua rakyat Sabah berumur 18 tahun ke atas dan elaun sara hidup siswa sebanyak RM1,200 setahun, serta komitmen menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dengan gaji setimpal kelayakan.
Menuju hari pengundian pada 29 Nov, PH meletakkan calon di 21 kerusi yang mana 12 daripada PKR, lapan daripada DAP, dan satu Amanah.