
Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) berkata, langkah itu harus diambil bagi mengelak ketirisan dan rasuah dalam penentuan projek sehingga boleh menyebabkan wujud ‘projek sakit’ yang merugikan kerajaan.
“Saya cadangkan kepada kerajaan untuk meletakkan pegawai SPRM dalam bahagian perolehan di setiap kementerian, setiap jabatan agensi kerajaan,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 di Dewan Rakyat.
“Kita tahu kontraktor sekarang mereka begitu hebat, boleh ‘pau’ dari bawah sampai atas, jadi perlu pegawai SPRM sama ada secara rasmi atau samaran untuk memantau dan melihat setiap proses pemberian projek dilakukan.
“Jika berlaku kesalahan, buat tangkapan. Kita tak boleh biarkan kerajaan bazir berjuta ringgit tapi akhirnya projek diberikan menjadi ‘projek sakit’.”
Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan memberikan konsesi pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan secara rundingan terus kepada Spanco, bukan kepada syarikat menawarkan harga lebih rendah.
“Dulu kerajaan buka tender, ada dua syarikat tersenarai, satu Spanco dan satu Naza Berjaya. Naza beri tender RM3.9 bilion tetapi dibatalkan, (sebaliknya) kerajaan masuk rundingan terus dan beri kepada Spanco dengan nilai RM4.6 bilion, RM670 juta lebih mahal,” katanya.
Susulan itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda–Muar) bangkit mencelah mempersoalkan mengapa kerajaan masih meneruskan kaedah rundingan terus dalam penganugerahan tender kepada syarikat penyelenggaraan dan pembekalan kenderaan kerajaan sedangkan ia satu pendekatan tidak sihat.
Sim bagaimanapun menegaskan, perjanjian tersebut dimeterai sebelum era pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.