
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau maklum terdapat beberapa video berlegar di media sosial yang mengajak umat Islam di negara ini untuk keluar daripada menyimpan wang di Tabung Haji.
“Hasutan ini tidak memberi manfaat atau kebaikan kepada usaha kita dalam mempertahankan Tabung Haji, maka kerajaan sedang teliti dan tindakan juga telah diambil, contoh aduan ataupun laporan telah dikemukakan kepada SKMM.
“Laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa video yang kita dapati menjurus ke arah hasutan tersebut dan perkara ini kita serah kepada pihak berwajib untuk melaksanakan atau menjalankan siasatan secara adil,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan mengekang cubaan pembinaan naratif serta dakwaan jahat terhadap Tabung Haji di pelbagai platform media sosial.
Mengenai konsortium dilantik untuk projek penjenamaan TH, beliau berkata melalui proses rundingan terus yang ketat, Tabung Haji memilih gabungan syarikat perunding yang memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus bagi menyusun semula strategi untuk memberi nafas baharu kepada institusi berkenaan.
“Rundingan terus merupakan kaedah perolehan dibenarkan dalam keperluan tertentu terutamanya bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus seperti khidmat perundingan strategik, tinjauan dan kajian pasaran dan lain-lain perkhidmatan yang tidak dapat diperoleh melalui proses tender biasa,” katanya.
Beliau berkata pemilihan itu melalui proses tadbir urus yang ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial yang menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan jawatankuasa tender dan Lembaga Pengarah Tabung Haji bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta nilai terbaik kepada organisasi.
Dalam masa sama, Mohd Na’im berkata beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan Pengerusi Rashid Hussain dalam urusan pelaksanaan penjenamaan semula Tabung Haji.