Perjanjian NG999 dibuat secara rundingan terus, kata timbalan menteri

Perjanjian NG999 dibuat secara rundingan terus, kata timbalan menteri

Teo Nie Ching berkata, peruntukan RM1.25 bilion rangkum kos pembangunan serta operasi sistem itu selama 12 tahun.

teo nie ching
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, NG999 mengendalikan antara 38,000 hingga 61,000 panggilan sehari sejak pelancarannya, berbanding 28,000 panggilan harian yang direkodkan sistem lama. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Talian kecemasan Next Generation 999 (NG999) dianugerahkan kepada Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi rundingan terus di bawah kerjasama awam-swasta, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Teo berkata, Jemaah Menteri pada 13 Nov 2020 bersetuju menggantikan platform MERS999 yang lama dengan NG999 dan memilih model sewaan perkhidmatan (service-lease model) dengan TM.

Beliau berkata, projek tersebut menelan belanja RM1.25 bilion untuk tempoh 12 tahun, merangkumi kos pembangunan dan operasi.

“Pembangunan sistem NG 999 dibuat secara kerjasama awam-swasta melalui rundingan terus dengan TM, berdasarkan model sewaan perkhidmatan,” katanya di Dewan Rakyat.

“Dan setakat akhirnya, kos untuk NG 999 ini adalah sebanyak RM1.25 bilion dan ini adalah untuk satu tempoh konsesi yang sepanjang 12 tahun, iaitu satu tahun untuk pembangunan dan 11 tahun untuk operasi.”

Teo berkata, orang ramai masih boleh mendail 999, manakala aplikasi mudah alih SaveME999 menyediakan saluran tambahan, terutamanya bagi mereka yang tidak dapat membuat panggilan suara.

Beliau memaklumkan, jumlah panggilan meningkat hampir dua kali ganda sejurus selepas sistem NG999 mula beroperasi pada 15 Nov, menyebabkan banyak panggilan tidak berjawab pada minggu pertama.

Sistem lama mengendalikan purata 28,000 panggilan masuk sehari, namun NG999 merekodkan antara 38,000 hingga 61,000 panggilan harian sejak pelancarannya.

Menurut Teo, tahap perkhidmatan kini kembali mematuhi terma kontrak selepas TM menambah bilangan ejen di pusat panggilan mereka.

“Sekarang 95% (panggilan) dijawab dalam tempoh lapan saat, iaitu mematuhi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) yang telah ditandatangani antara kerajaan dengan TM,” katanya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2012, projek MERS999 bernilai RM801.55 juta yang dilaksanakan pada Mei 2007 turut menyaksikan TM dilantik melalui rundingan terus.

The Edge sebelum ini melaporkan, LKAN mendapati projek MERS 999 dicemari oleh kepincangan yang mengakibatkan terlebih bayar dan pembayaran dibuat tanpa dokumentasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.