Calon bebas harap isu bukan anak tempatan tak pengaruhi pengundi PRK Slim

Calon bebas harap isu bukan anak tempatan tak pengaruhi pengundi PRK Slim

Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berikrar akan menawarkan khidmat terbaik untuk penduduk di Slim, jika beliau menang pada 29 Ogos ini.

Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkata, Dr Mahathir Mohamad belum membuat keputusan untuk turun membantunya berkempen pada PRK Slim.
TANJUNG MALIM:
Calon bebas yang mewakili kumpulan Dr Mahathir Mohamad berharap isu bukan anak tempatan tidak menjadi faktor yang akan mempengaruhi pengundi memilih calon berkredibiliti pada Pilihan Raya Kecil Slim.

Amir Khusyairi Mohamad Tanusi juga berikrar akan menawarkan khidmat terbaik untuk penduduk di Slim, jika beliau menang pada 29 Ogos ini.

“Pihak saya dan rakan-rakan jentera saya ingin bawa aspirasi baik dan nilai murni. Saya juga akan tawar idea-idea saya kepada penduduk Slim,” katanya selepas pengumuman calon di Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Amir ialah peguam berasal dari Teluk Intan dan beliau sepatutnya bertanding di sana.

Katanya, DUN Slim memerlukan calon yang memahami aspirasi masyarakat tempatan.

Amir Khusyairi yang bertanding menggunakan simbol pokok berkata, Mahathir belum membuat keputusan untuk turun membantunya berkempen.

“Tun belum buat sebarang keputusan.”

Sementara itu, calon BN, Mohd Zaidi Aziz berkata, kerjasama Umno, PAS dan PPBM mampu meyakinkan rakyat untuk mengundinya.

“Alhamdulilah kerjasama mantap. Hubungan dalam PN tak ada masalah untuk menangkan saya.”

Terdahulu, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

Katanya, dengan terbentuknya penyatuan antara PPBM, Umno, PAS dan parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat sudah berada di pihak mereka.

Zaidi, Amir Khusyairi dan seorang lagi calon bebas, Santharasekaran Subramaniam akan berentap pada PRK Slim 29 Ogos ini.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Khusairi mempertahankan kerusi itu pada 2018 selepas mengalahkan calon PPBM, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.