PRN17: BN, PH sudah muktamad pembahagian kerusi agar tidak bertembung

PRN17: BN, PH sudah muktamad pembahagian kerusi agar tidak bertembung

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengetengahkan 100% calon anak tempatan.

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, BN akan mengetengahkan calon boleh menang yang terdiri daripada 80% muka baharu pada PRN17. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi PRN17 agar tiada pertembungan.

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, beliau bagaimanapun difahamkan rundingan kerusi antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

“Saya harap pada 15 Nov nanti kita akan tahu jumlah sebenar kerusi-kerusi yang akan ditandingi setiap parti gabungan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Deepavali Bagan Datuk 2025 hari ini, lapor Bernama.

Beliau menambah, bagaimanapun, pertembungan antara calon BN dan GRS adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Zahid yang juga presiden Umno berkata, BN akan mengetengahkan calon boleh menang yang terdiri daripada 80% muka baharu, termasuk daripada Wanita, Pemuda dan Puteri.

Kesemua calon diketengahkan BN kali ini, katanya, adalah 100% anak tempatan.

“Ini untuk memberi satu ‘signal’ bahawa BN Sabah sedia menghamparkan perbedaan pada kali ini untuk kita memberikan harapan baharu kepada pengundi-pengundi di Sabah,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.

Mengenai laporan media berhubung kehadiran Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali dalam satu majlis perasmian kedai emas di Little India, Brickfields di Kuala Lumpur baru-baru ini, Zahid berkata ini perkara biasa.

Menurutnya, keterbukaan rakyat Malaysia membolehkan semua orang bergaul, ‘tidak kira parti politik, kaum atau agama’.

“Sebaik-baiknya kita hanya lawan ketika pilihan raya. Selain daripada itu kita mesti terus menyantuni sahabat-sahabat kita,” katanya.

Terdahulu, Zahid menyampaikan sumbangan Deepavali berupa 2,000 kotak makanan kepada keluarga B40 serta baucar RM100 kepada 703 pelajar SJKT di Parlimen Bagan Datuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.