
Sebagai penduduk tetap di Teluk Intan, katanya, beliau mampu menjadi “suara” yang memperjuangkan isu penduduk setempat.
“Saya tahu masalah orang di Teluk Intan, itu pertama. Yang kedua, kalau orang Teluk Intan nak cari saya, saya tidak akan ke mana-mana, saya mudah untuk dihubungi kerana saya bekerja di sini.
“Saya membawa isu rakyat sebab saya merasainya. Saya orang Teluk Intan, itu yang saya nak sampaikan, mudah-mudahan pengundi terbuka hati nak lihat saya dipilih,” katanya kepada FMT.
Bagi Amir, Parlimen Teluk Intan bukan laluan mudah kerana saingannya adalah calon “heavyweight” yang terdiri daripada pemimpin parti, iaitu Naib Presiden MIC, T Murugiah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Zainol Fadzi Paharuddin dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang juga bekas penyandang kerusi itu.
Peguam itu berkata, untuk menyerlah di bawah nama parti mungkin sukar kerana Pejuang adalah parti muda yang belum cukup dikenali.
Justeru, untuk berentap di gelanggang bersama parti gergasi, beliau harus menyerlahkan potensi dirinya yang mempunyai kelebihan sebagai anak jati Teluk Intan berbanding menggunakan nama parti.
“Kalau orang nak pilih saya berdasarkan parti, sudah tentu saya tidak akan berjaya. Orang tengok logo pun orang tanya, ini logo apa?
“Jadi, saya terpaksa promosikan diri saya lebih daripada parti, orang kena tahu saya orang sini, saya lahir dekat sini, saya kerja dekat sini, orang akan mudah berhubung dengan saya, itu paling penting,” katanya yang mempunyai firma guaman di Teluk Intan.
Jika menang pada Sabtu ini, beliau mahu membawa Teluk Intan keluar dari kepompong keselesaan untuk menjadi daerah lebih berdaya saing, selain memastikan infrastruktur asas seperti capaian internet di tahap memuaskan.