
Faris, 29, yang lebih mesra dengan panggilan Reeze, berpendapat grafiti mampu membantu meningkatkan ekonomi negara dan memberi peluang kepada golongan muda.
Katanya, grafiti juga mampu merapatkan hubungan artis tempatan dan luar negara.
“Dari situ, artis luar datang ke Malaysia untuk sama-sama berkarya dengan artis Malaysia, di samping dapat mempromosikan keunikan Malaysia seperti makanan dan tempat-tempat menarik.

“Kawan-kawan dari Eropah datang sini untuk jumpa rakan-rakan artis tempatan yang aktif dan sambil buat grafiti, sambil melancong,” katanya kepada FMT.
Faris dan rakannya, Muhammad Fakhri Mohd Salleh, 29, dikenali sebagai Pakey, meminati seni itu sejak di bangku sekolah.
Dua graduan seni reka grafik Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula melukis grafiti sejak 2004 di dinding sepanjang laluan Sungai Klang, Pasar Seni yang menjadi kanvas mereka sehingga mencipta nama di pentas antarabangsa termasuk Dubai, Indonesia dan Belgium.

Faris berkata, grafiti kini ialah medium untuk mencantikkan sebuah tempat dan berpotensi menjadi tarikan pelancong, di samping dapat menjana ekonomi kepada golongan muda serta negara.
Katanya, grafiti mempunyai nilai tersendiri kerana ia mempunyai makna tentang sesuatu watak, pandangan, nilai moral dan budaya, tetapi maksud di sebalik karya seni itu mungkin sukar ditafsir kebanyakan orang.
Fakhri berkata, melalui media sosial, orang ramai mula tahu mengenai grafiti dan seni itu berkembang dengan baik mengikut peredaran zaman sehingga mampu membantu membuang stigma dan tanggapan negatif masyarakat.

Katanya, Malaysia kini mempunyai 100 hingga 150 artis grafiti aktif.
“Kita nak ramaikan lagi komuniti dan wujudkan persaingan lebih sihat,” katanya sambil menggesa orang ramai menghargai grafiti dan menepis tanggapan negatif seni itu membuang masa.
Katanya, grafiti perlu dinilai melalui mesejnya kerana bukan semua lukisan berunsur negatif.
Beliau turut menyarankan pihak berkuasa menyediakan lebih banyak ruang kepada untuk artis grafiti mempamerkan idea dan bakat mereka.