Ibu berkerjaya jangan tewas dengan depresi, ada cara selamatkan diri

Ibu berkerjaya jangan tewas dengan depresi, ada cara selamatkan diri

Depresi merupakan pembunuh dalam diam, jadi cegah sebelum parah.

Suami harus sentiasa memberi sokongan kepada isteri agar tidak terbeban dengan masalah emosi.

Cabaran yang perlu dihadapi oleh kaum wanita pada era ini bukan kepalang.

Lebih-lebih lagi jika sudah bergelar ibu. Memikul tanggungjawab sebagai ibu yang bekerja memang mencabar.

Bayangkan, seorang suri rumah pun tidak henti-henti tugasan di rumah, inikan pula ibu yang bekerja.

Masa 24 jam sehari seolah-olah tidak pernah mencukupi di samping urusan kerja yang tidak pernah berhenti.

Disebabkan itu, menjadi ibu yang bekerja memiliki risiko yang lebih besar untuk mengalami tekanan dan jika perkara ini tidak ditangani dengan betul, mereka berpotensi berhadapan dengan depresi atau kemurungan.

“Semua tanggungjawab yang tidak henti-henti itu boleh menimbulkan tekanan kepada seorang ibu kerana terlalu banyak perkara yang dia perlu fikirkan dan tangani.

“Dia mungkin berasa bersalah kerana tidak mampu memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak, lebih-lebih lagi bila anak itu tidak sihat,” ujar Doktor Perubatan Keluarga, Dr. Rohaya Ramli mengulas mengenai masalah depresi di kalangan ibu bekerja.

Bukan itu sahaja, seorang ibu pasti tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun awal pagi untuk menguruskan anak-anak serta menyiapkan sarapan.

“Kemudian dia perlu bergegas ke tempat kerja, bekerja sehingga ke petang, balik semula ke rumah untuk memasak dan menguruskan anak-anak serta rumahtangga.

“Dia juga sudah semestinya tidur pada lewat malam. Sama ada mahu menyiapkan kerja-kerja rumah atau lebih parah lagi menyiapkan tugasan pejabat yang dibawa pulang,” tambahnya sambil memberitahu depresi boleh menimbulkan masalah kesihatan yang serius jika tidak ditangani dengan baik.

Berikut merupakan tip yang dikongsi oleh Dr. Rohaya untuk mengatasi masalah depresi di kalangan ibu bekerja.

1. Buat perancangan awal

Bagi pasangan yang baru berumahtangga, perlu membuat perancangan teliti dari semua segi seperti hal kewangan serta siapa yang akan menjaga anak yang bakal lahir sebelum memulakan keluarga.

Bincang dengan ahli keluarga atau cari pusat penjagaan kanak-kanak yang diyakini untuk menjaga anak-anak anda nanti. Jika semua ini telah dirancang, ia mungkin dapat mengurangi tekanan atau stres.

2. Agihkan tugasan rumah dengan ahli keluarga yang sebumbung

Tugasan di rumah seperti mengemas, membasuh pakaian, memasak dan lain-lain haruslah diagihkan di antara semua ahli keluarga yang tinggal bersama supaya ibu tidak terbeban dengan kerja-kerja rumah yang semestinya tidak pernah habis.

3. Bincang dengan majikan cara terbaik untuk selesaikan tugasan

Di tempat kerja pula, ibu tersebut boleh berbincang dengan majikan sama ada dia boleh bekerja mengikut jadual “flexihours”.

Dalam dunia tanpa sempadan ini, banyak tugasan pejabat sudah boleh diselesaikan atau diakses dari jauh.

4. Dapatkan rawatan pakar jika tidak terbendung

Akhir sekali, jika anda berasa begitu tertekan dan ada simptom-simptom seperti sakit kepala, insomnia, dan sebagainya, janganlah berdiam diri.

Berjumpalah dengan doktor atau kaunselor untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang sewajarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.