Dendam dipaksa belajar disyaki punca calon SPM bunuh ibu, abang

Dendam dipaksa belajar disyaki punca calon SPM bunuh ibu, abang

Suspek ditahan dan mengaku tikam ibu serta abang selain cuba bunuh adiknya.

bunuh keluarga
Polis berkata suspek yang menikam ibu dan abangnya ditahan di depan rumah di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dendam akibat tekanan perasaan kerana sering dipaksa belajar disyaki punca seorang remaja membunuh ibu dan abangnya di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka, pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi suspek lelaki berusia 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan di rumah didiami bersama mangsa yang juga ibu tunggal.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan termenung di depan rumah ketika ditahan sebelum mengaku menikam ibunya yang juga guru sekolah jenis kebangsaan Cina berusia 51 tahun dan abangnya, 21, serta cuba membunuh adiknya berusia 13 tahun.

“Motif pembunuhan disebabkan oleh perasaan dendam yang terpendam akibat tekanan perasaan kerana suspek akan menduduki SPM tahun ini sering dipaksa belajar oleh ibu dan abangnya.

“Suspek dipercayai menikam ibunya beberapa kali di leher, pinggang dan belakang badan menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20cm dibawa dalam beg sekolah dan perancangan itu sudah dibuat lebih awal.

“Kejadian kemudian disedari abangnya yang cuba menyelamatkan guru berkenaan namun dia mati dengan beberapa kesan tikaman sebelum dua beranak itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah,” katanya dalam sidang media di IPK Melaka, menurut MalaysiaGazette.

Dzulkhairi berkata, adik suspek iaitu lelaki berusia 13 tahun turut parah apabila ditikam ketika cuba menghalang tindakan suspek terhadap dua beranak tersebut.

“Mangsa bagaimanapun stabil sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan siasatan turut mendapati kejadian dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran.

“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek juga dilihat cuba membuang barang kes (pisau) serta beberapa lagi barang lain yang sempat dirakam CCTV dan kita sudah menjumpai semula barang kes terbabit,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek tidak berada bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika kejadian.

Katanya, suspek akan direman esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.