
Pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Fauziah Mohd Saad, berkata nisbah guru kaunseling berbanding pelajar sekolah ketika ini mencecah 1:500, iaitu dua kali ganda daripada nisbah yang disarankan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan guru kaunseling sukar memainkan peranan dalam memberikan sesi kaunseling secara berkesan kepada pelajar bermasalah.
“Banyak guru kaunseling juga dibebankan dengan tugas pentadbiran dan kerja perkeranian. Maka perjawatan kaunselor perlu ditambah sehingga mencapai nisbah 1:250,” katanya kepada FMT.
Fauziah juga berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melaksanakan saringan kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah menengah secara berkala, bukan hanya menunggu mereka tampil mendapatkan bantuan.
“Guna alat saringan misalnya ujian saringan tekanan, kebimbangan melampau dan kemurungan (DASS) dengan bantuan guru kaunseling, pakar psikologi dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik.
“Selain itu, KPM juga perlu menyediakan modul pembelajaran sosial emosional (PSE) di sekolah untuk membina daya tahan emosi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr Andrew Mohanraj, berkata guru kaunseling juga sering dibebani tugas disiplin berbanding memberi tumpuan kepada kesihatan mental pelajar.
Katanya, sekolah tidak seharusnya bergantung kepada guru kaunseling semata-mata untuk menawarkan sokongan kesihatan mental, sebaliknya guru biasa juga harus mendapatkan latihan berkaitan pertolongan cemas psikologi.
“Dalam latihan ini peserta didedahkan tentang kesihatan mental remaja, penilaian risiko bunuh diri, pengurusan krisis dan kemahiran kaunseling terapeutik.
“Mereka juga diajar cara mengesan tanda awal kemurungan dan merujuk segera kepada pakar,” katanya.
Mengulas mengenai antara punca kemurungan dalam kalangan pelajar, Andrew berkata budaya masyarakat yang terlalu menekankan pencapaian akademik sebagai suatu bentuk kejayaan dan kehormatan keluarga menyebabkan mereka tertekan.
“Ramai pelajar takut mengecewakan ibu bapa atau dianggap gagal. Kelas tuisyen selepas sekolah serta tugasan tambahan yang ‘mencuri’ masa rehat atau beriadah mereka, menyebabkan tekanan psikologi.
“Pendekatan menghukum digunakan sesetengah sekolah dan keluarga terhadap pelajar yang mempunyai prestasi akademik lemah juga membawa kepada gejala kemurungan,” katanya.
Katanya, gaya didikan ibu bapa yang bersifat autoritarian juga boleh mengurangkan keupayaan pelajar untuk menghadapi tekanan akademik atau sosial.
Isnin lalu, sidang DUN Selangor diberitahu seramai 1,020 pelajar sekolah menengah di negeri itu dikenal pasti mempunyai tanda awal kategori berisiko tinggi mengalami masalah kemurungan.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, dilaporkan berkata jumlah itu mewakili 2.8% daripada 36,428 pelajar yang menjalani saringan kaji selidik kesihatan pesakit (PHQ).