Pihak berkuasa Gaza beri amaran krisis air kritikal akibat sekatan Israel

Pihak berkuasa Gaza beri amaran krisis air kritikal akibat sekatan Israel

Syarikat air Israel, Mekorot yang beroperasi bawah kawalan penuh rejim Zionis dijadikan alat tekanan utama dalam sekatan berterusan terhadap Gaza.

Rakyat Palestin beratur untuk mengisi air dalam tong di Jabaliya, utara Semenanjung Gaza pada Ahad. (Gambar AP)
BANDARAYA GAZA:
Pihak berkuasa perbandaran di Gaza memberi amaran krisis air semakin meruncing dan boleh menyebabkan kehausan meluas susulan penutupan lintasan sempadan oleh Israel serta ancaman memutuskan bekalan air.

“Saluran air Mekorot membekalkan kira-kira 70% keperluan harian air di Bandaraya Gaza,” kata Perbandaran Gaza dalam kenyataan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

“Sekiranya bekalan air dari saluran ini diputuskan, ia boleh menyebabkan kekurangan air yang serius, mengancam nyawa orang awam dan membawa kepada kemerosotan kesihatan awam serta berpotensi mengakibatkan penyebaran penyakit.”

Mekorot, syarikat air Israel antara sumber utama bekalan air bagi Semenanjung Gaza. Syarikat itu beroperasi di bawah kawalan penuh Israel, menjadikannya alat tekanan utama dalam sekatan berterusan terhadap Gaza.

Sejak fasa pertama gencatan senjata dan pertukaran tahanan berakhir awal Mac, Israel kembali menutup semua lintasan Gaza dan menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.

Penutupan itu serta tindakan Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza menyebabkan kemudahan rawatan air dan kumbahan tidak dapat beroperasi, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan sudah teruk di wilayah itu.

Pegawai Israel berulang kali mengancam memutuskan bekalan elektrik dan air ke Gaza sebagai tekanan terhadap kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Pada 4 Mac lalu, jurucakap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Omer Dostri berkata pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza masih dalam pertimbangan yang disifatkan taktik tekanan.

Perbandaran Gaza menegaskan sekatan berterusan terhadap bahan api dan tenaga diperlukan untuk mengendalikan kemudahan penting akan membawa kepada gangguan besar dalam perkhidmatan air serta sanitasi.

Ia menyeru tekanan antarabangsa ditingkatkan ke atas Israel “bagi menghormati undang-undang serta perjanjian antarabangsa dan memastikan bekalan air serta tenaga tidak terjejas”.

Perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan Januari lalu menghentikan serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza, yang setakat ini meragut lebih 48,500 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan kemusnahan besar di wilayah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.