Tragedi guru kelar isteri cetus amaran risiko BNPL, kata perunding

Tragedi guru kelar isteri cetus amaran risiko BNPL, kata perunding

Perunding kewangan Afyan Mat Rawi berkata penggunaan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) tanpa disiplin boleh memerangkap pengguna dalam hutang.

depression woman
Dr Zainal Ariffin Omar berkata tekanan kewangan akibat beban hutang serius boleh menjejaskan kesihatan mental sehingga mendorong individu bertindak di luar kawalan. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kejadian seorang guru mengelar isterinya minggu lalu antaranya dipercayai akibat tekanan menanggung bayaran ansuran melalui platform e-dagang, menunjukkan perlunya tindakan alternatif selain penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna, kata seorang perunding kewangan.

Afyan Mat Rawi daripada Infaq Consultancy berkata, insiden di Pulau Pinang itu membuktikan penggunaan platform beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) tanpa kawalan disiplin boleh menjadi bom jangka kepada pengguna.

Menurutnya, BNPL yang kelihatan mudah berisiko menjadi perangkap hutang jika digunakan tanpa kawalan, khususnya bagi individu yang sudah terikat dengan hutang kereta, pinjaman peribadi dan kad kredit.

“Selain undang-undang, pendidikan kewangan mesti dijadikan budaya sejak di bangku sekolah supaya generasi muda tahu membezakan antara kehendak dan keperluan.

“Syarikat penyedia BNPL juga wajar menyediakan amaran jelas kepada pengguna sebelum mereka meneruskan transaksi supaya mereka sedar risiko yang bakal ditanggung,” katanya kepada FMT.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, mangsa berusia 28 tahun cedera dikelar di leher, manakala suaminya turut cedera di bahagian leher dan tangan selepas mengelar dirinya menggunakan pisau sama.

Selain menanggung bayaran ansuran BNPL, siasatan mendapati suspek juga tertekan kerana membuat pinjaman bank bagi tujuan pelaburan saham.

Suspek kini direman sehingga Khamis bagi siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tekanan kewangan akibat beban hutang serius boleh menjejaskan kesihatan mental sehingga mendorong individu bertindak di luar kawalan.

Menurutnya, masalah kewangan kronik berisiko menimbulkan rasa terdesak, hilang harapan dan panik melampau, terutama apabila hubungan keluarga turut tidak stabil.

“Kegagalan mengawal hutang dan kemerosotan ekonomi keluarga menjadi tekanan besar yang boleh menjejaskan kestabilan mental serta tingkah laku.

“Gabungan tekanan kewangan yang melampau, konflik rumah tangga dan ketiadaan saluran sokongan efektif boleh mendorong seseorang ke tahap stres tidak terkawal, seterusnya membawa kepada tindakan di luar norma,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.