
Beliau berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai platform bantuan, termasuk Talian Kasih 15999 yang berfungsi sebagai ruang untuk meluahkan perasaan, sekali gus membantu menyalurkan mereka kepada bantuan dan intervensi sesuai.
“Kita mahu mereka berhubung dengan kita agar dapat diberikan nasihat dan panduan ke mana mereka perlu pergi. Kadangkala mereka tidak tahu saluran betul dan terjerumus ke tempat salah.
“Jika ada kemurungan dan sebagainya, mereka boleh hubungi talian 15999, mencurah perasaan dan dari situ mereka akan diberi panduan. Ini adalah langkah dan platform yang betul,” katanya menurut Bernama selepas pelancaran Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2025 di Kuala Lumpur, semalam.
Nancy mengulas kontroversi program motivasi rumah tangga dikendalikan sepasang suami isteri didakwa mengandungi unsur jelik dan fahaman meragukan.
Beliau turut menyarankan wanita menghadapi isu seperti keganasan rumah tangga mendapatkan bantuan melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di bawah kementeriannya yang menyediakan bimbingan dan kaunseling daripada pakar.
PSSS inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara bagi memberi bantuan segera kepada golongan memerlukan, khasnya dalam menangani isu psikososial masyarakat.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, KPWKM menyasarkan 1,500 ibu tunggal menyertai program KasihnITa 2025 yang akan bermula bulan depan hingga Disember ini.
Katanya, program itu dirangka untuk memberi pendedahan dan bimbingan kepada ibu tunggal dalam aspek perundangan, pengurusan kewangan serta pembangunan potensi diri.
Beliau berkata, program yang mula diperkenalkan pada 2023 itu kini dijenamakan semula sebagai KasihnITa dan akan dilaksanakan di enam zon utama di seluruh negara dengan peruntukan RM1.6 juta.
“Fokus program bukan hanya kepada ibu tunggal yang bercerai, tetapi turut melibatkan wanita ditinggalkan suami tanpa berita atau mempunyai pasangan sakit dan terlantar.
“Ramai dalam kalangan mereka ini menghadapi kesukaran menuntut nafkah daripada bekas suami, malah ada yang tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan peguam dan bimbang mengenai kos guaman mahal.”
Bagi memudahkan penyertaan, beliau menyarankan ibu tunggal memerlukan bantuan menghubungi KPWKM secara terus atau mengakses maklumat di laman web rasmi kementerian itu. Pendaftaran KasihnITa dibuka sejak 16 Mei lalu dan akan ditutup 31 Julai ini.